Tiga Hos Janjikan Persembahan Terbaik Dalam ABPBH 2014

Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2015 5:35 PM

Dari kiri: Sherry Al-Hadad, Amy Mastura dan AG (Hot FM)

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga pengacara iaitu Amy Mastura, AG (Hot FM) dan Sherry Alhadad bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2014) pada 5 April depan.

Pengacara dan penyampai radio, AG berkata, ini merupakan pertama kali mereka digandingkan bersama dan yakin dapat melakukan tugas berkenaan dengan baik.

"Insya-Allah kami dapat mencapai keserasian di atas pentas kerana saya pernah bekerjasama dengan mereka terutama Sherry di radio.

"Saya akan cuba belajar daripada pengacara-pengacara sebelum ini dan melihat bagaimana mereka melakukannya dengan baik dalam menghidupkan acara besar ini," ujarnya kepada mStar Online.

AG berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pra-kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014), yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini, Selasa.

Sementara itu, Sherry Alhadad berkata, walaupun sedikit gemuruh kerana pertama kali digandingkan dengan pengacara berpengalaman namun dia yakin dapat melunaskan amanah tersebut dengan baik.

Antara selebriti terlibat dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014.

Tambahnya, tawaran mengendalikan acara berprestij itu dianggap sebagai satu peluang keemasan.

"Saya masih tidak percaya diberi peluang ini dan dapat bergandingan dengan pengacara lebih berpengalaman.

"Persiapan saya ialah akan bertanya dan bertanya pendapat kepada pengacara senior seperti Sharifah Shahira dan Farah Fauzana untuk minta tips," ujarnya.

Selain mengumumkan barisan pengacara, majlis tersebut turut mendedahkan barisan penyampai trofi dan artis yang bakal membuat persembahan di malam kemuncak ABPBH 2014.

Gandingan artis dan personaliti baru, muda serta yang lama menjanjikan malam anugerah itu akan lebih mantap dan menghiburkan.

Dari kiri; Sherry, Amy Mastura dan AG.

Antara artis yang bakal menyampaikan trofi ialah Amelina, Ayda Jebat, Hafiz (Fly FM), Hisyam Hamid, Ifa Raziah, Ikhwan (Hot FM) dan Khaty Fauziah.

Artis lain ialah Nurfathia, Puteri Balqish, Shaheizy Sam, Syukri Yahya, Siti Saleha, Syahrul Ridzwan, Tun Nadia dan Zara Zya.

Manakala, artis yang bakal membuat persembahan pada malam tersebut ialah Akim Ahmad, Atilia, Aweera, Azlan & Typewriter, Azmil (Mentor), Black, Bocey, Datuk Siti Nurhaliza, Hazama, Faizal Tahir, Mark Adam dan Nash.

Majlis Anugerah Bintang Popular 2014 yang bertemakan Cinta akan berlangsung di Arena of Star Genting Highlands dan akan disiarkan secara langsung pukul 9 malam menerusi TV3.
Tags / Kata Kunci: ABPBH 2014

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan