Hafiz Suip Hakis Sikap Boros Selepas Bertunang

Diterbitkan: Rabu, 4 Mac 2015 12:30 AM

Hafiz mengakui banyak bermuhasabah diri semenjak mengikat tali pertunangan pada 27 Februari lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip menjelaskan dia kini lebih banyak bermuhasabah diri tentang pelbagai aspek dalam kehidupannya semenjak mengikat tali pertunangan dengan Nureffy Hasreel Abdullah, 22 pada 27 Februari lalu.

Hafiz, 25, berkata, pada tahap sekarang dia perlu memikirkan secara serius tentang kehidupannya selain meninggalkan sifat buruk yang ada pada dirinya sebelum bergelar suami.

"Semenjak bertunang saya banyak bermuhasabah diri dan ingin menjadi seorang insan yang lebih bertanggungjawab terutama kepada diri sendiri sebagai persediaan melangkah ke alam perkahwinan," katanya kepada mStar Online.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Sophie Secret di Hotel Royale Chulan di sini, Selasa.

Pasangan itu melangsungkan pertunangan di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak dan akan melangsungkan perkahwinan dalam tempoh setahun.

Terdahulu, majlis merisik telah diadakan di rumah wanita tersebut di Kuching, Sarawak pada 21 Disember tahun lalu.

Hafiz bersama pengasas produk Sophie Secret Sharifah Sophie.

Dalam pada itu, Hafiz mengakui sukar menghakis sikap boros dan minatnya kereta namun menyedari bahawa dia perlu mula menabung demi masa depannya selepas berumah tangga.

Malah kata Haifz, ibu dan tunangnya banyak menasihatinya agar lebih beringat dalam berbelanja dan mendahulukan perkara yang lebih penting berbanding kemahuannya.

"Saya sebenarnya seorang yang boros dan begitu meminati kereta dan pada usia sekarang macam-macam perkara yang ingin saya lakukan.

"Tetapi saya sedar bahawa sudah sampai masanya untuk saya berubah dan bersikap matang," katanya.

Sementara itu, Hafiz berkata, dia masih belum menetapkan tarikh untuk melangsungkan perkahwinan dengan Nureffy kerana ingin menunggu wanita berkenaan menamatkan pengajiannya terlebih dahulu.

Hafiz kini duta produk kesihatan dan kecantikan.

Bagaimanapun kata Hafiz, dia bercadang untuk disatukan dengan Nureffy pada ulangtahun wanita berkenaan pada Mei tahun hadapan.

"Saya sebenarnya seorang pelupa dan atas sebab itu juga saya memilih tarikh hari jadi saya untuk mengikat tali pertunangan agar mudah untuk mengingati hari istimewa itu.

"Barangkali saya patut pilih tarikh hari jadi Nureffy untuk melangsungkan perkahwinan kami tetapi itu hanya perancangan saya," katanya.

Bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta produk Sophie Secret, Hafiz berkata, dia bersetuju menerima tawaran tersebut kerana ingin menjelaskan bahawa kaum lelaki juga menitikberatkan soal kesihatan dan kecantikan.

Malah kata Hafiz, dia sendiri telah mencuba dua produk keluaran jenama itu dan mendapati perubahan ketara kepadanya hanya dalam masa singkat.

"Saya faham, sebelum ini lebih banyak selebriti wanita diambil menjadi duta produk kesihatan dan kecantikan namun pemilihan saya adalah bukti produk ini sesuai untuk lelaki dan wanita.

"Sebelum bersetuju saya sendiri telah mencuba dan Alhamdulillah ia memberi kesan ketara terutamanya pada stamina saya," katanya.

Tags / Kata Kunci: Hafiz Suip.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan