Akim & The Majistret Yakin Dapat Bertahan Sebagai Kumpulan

Diterbitkan: Selasa, 3 Mac 2015 12:30 AM

Akim & The Majistret bakal muncul dengan album pertama mereka April depan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Vokalis Akim & The Majistret iaitu Akim Ahmad yakin kumpulannya itu dapat bertahan lama biarpun segelintir pihak skeptikal mereka dapat kekal bersama selepas mengecap pelbagai kejayaan menerusi single pertama mereka, Mewangi.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 24, berkata, perkara itu sebenarnya bergantung kepada kesungguhan dan cara semua anggota dalam menguruskan sesebuah kumpulan itu.

"Perpecahan itu pasti akan berlaku apabila sampai masanya tetapi saya percaya semua ahli kumpulan ini memberikan komitmen cukup tinggi terhadap Akim & The Majistret.

"Bertahan atau tidak itu sebenarnya terletak kepada diri sendiri dan cara kami menguruskan terutama dari segi komunikasi agar tidak timbul masalah.

Akim & The Majistret turut dianggotai oleh Hafiz, Fairuz, Zimi, Wan dan Ajiji.

Dalam pada itu, Akim berkata, dia terharu dengan komitmen diberikan semua ahli memandangkan mereka juga terikat dengan kumpulan asal masing-masing.

Jelas Akim, atas faktor itu juga, keharmonian wujud dalam kumpulan tersebut memandangkan masing-masing mempunyai pengalaman berada dalam sebuah grup.

"Semua ahli dalam grup ini berasal daripada kumpulan lain dan mereka semua ada pengalaman tentang bagaimana etika dab komitmen yang perlua diberikan.

"Jujur saya kagum dengan perbezaan dan persamaan yang ada dan atas dasar itulah menjadikan kamu sebuah kumpulan yang unik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Akim berkata, album pertama kumpulan itu bakal dilancarkan pada April depan dan bakal memuatkan sembilan buah lagu.

Jelas Akim, kemunculan album berkenaan adalah sebagai kesinambungan kepada kejayaan Mewangi yang diterima baik oleh peminat.

"Daripada sekadar mencuba Alhamdulillah Akim & The Majistret diterima baik peminat dan kemunculan album pertama itu nanti ada sebagai kesinambungan dan tanda terima kasih kami kepada peminat.

"Sebelum itu kami akan terlebih dahulu melancarkan single kedua kami berjudul Potrait dan lagu itu dicipta sepenuhnya oleh saya," katanya.
Tags / Kata Kunci: Akim & The Majistret , Mewangi , Potrait.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan