Awie Terkilan Isteri 'Larikan' Anak Dari Sekolah

Diterbitkan: Jumaat, 27 Februari 2015 12:00 AM

Awie

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Wings, Awie terkilan dengan tindakan isterinya, Rozana Misbun yang membawa lari dua anak mereka ketika berada di sekolah tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepadanya.

Dua anak itu ialah Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, berkata, dia tidak pernah menghalang isterinya itu untuk melawat anak-anak mereka di sekolah memandangkan Rozana enggan datang ke rumahnya.

"Saya tidak pasti kenapa dia tidak mahu datang ke rumah saya sendiri untuk berjumpa dengan anak-anak tetapi dia akan ‘serang’ apabila saya tiada di rumah.

"Perbuatan dia membawa lari anak-anak dari sekolah dengan membawa polis bersenjata membuatkan saya terkilan.

"Saya ingin tahu siapa polis itu kerana saya ragu-ragu dengan identitinya kerana sesuka hati membawa senjata tambahan pula ke sekolah," katanya kepada mStar Online.

Awie ditemui pada sidang media pelancaran album Wings Live Rockestra @ Istana Budaya dan Aplikasi Telefon Pintar 'Wings Mobile Web' di Istana Budaya di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Awie turut mempertikaikan tindakan Rozana yang tidak menghantar dua anaknya itu ke sekolah sejak membawa lari mereka pada 9 Februari lalu.

Awie dan Rozana

Kata Awie, pihak sekolah memaklumkan perkara itu kepadanya dan berharap Rozana akan kembali menghantar mereka ke sekolah demi kepentingan pelajaran mereka.

"Bawa mereka lari satu hal malah tidak hantar mereka ke sekolah. Saya membayar yuran mereka bukan untuk disia-siakan begitu sahaja dan berasa pelik dengan tindakan anehnya," jelas Awie.

Seorang lagi anak Awie, Putra Ahmad Merrah, 8, kini berada di bawah jagaannya termasuk dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

Sementara itu, Awie berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah pada 24 Februari lalu berhubung penjagaan sementara anak-anaknya berikutan hak tersebut diperoleh Rozana.

Awie memberitahu keputusan kes berkenaan hanya akan diketahui pada Mei depan.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur memberi hak penjagaan sementara tiga anak Rozana dan Awie iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Awie diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana.

Rozana mengambil dua orang anaknya itu dari sekolah sebagai mematuhi perintah mahkamah yang mengembalikan hak penjagaan anak-anak kepadanya.

Awie hanya mendapat hak melawat mereka sahaja pada hujung minggu.

Tags / Kata Kunci: Awie , Rozana Misbun

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan