Amar Baharin Dedah Sering Terima Mesej Lucah

Diterbitkan: Isnin, 16 Februari 2015 1:12 PM

Amar sering mendapat gambar dan mesej lucah serta tidak senonoh daripada peminat-peminatnya. Foto SAMUEL ONG.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Amar Baharin mendedahkan sering mendapat gambar, mesej lucah dan tidak senonoh daripada peminat-peminatnya di laman sosial.

Namun Amar, 30, berkata, dia tidak pernah melayan malah menyekat pengikut tersebut daripada memasuki akaun laman sosialnya bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

"Ramai peminat yang hantar gambar yang bukan-bukan dan ajak saya buat perkara tidak senonoh. Biasanya saya block mereka supaya tidak timbul perkara lebih teruk," ujarnya kepada mStar Online.

Pelakon itu berkata demikian ketika ditemui pada festival Anugerah Meletop 2015, yang diadakan di The Pacific Place, di sini, Ahad.

Amar turut dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Meletop di Anugerah Meletop Era yang bakal berlangsung pada 22 Februari ini.

Pada festival itu, Amar turut membuka gerai jualan barangan muslimah jenamanya Amab.

Dalam pada itu, Amar mengakui peminat-peminatnya merupakan tulang belakang untuk dia berada sebaris dengan pelakon terkenal tanah air.


"Gangguan negatif itu hanya bilangan kecil jika dibandingkan dengan peminat-peminat saya yang banyak menyokong kerjaya saya selama ini.

"Saya lihat mereka tidak henti-henti berkempen di laman sosial supaya mengundi saya dalam kategori itu," ujarnya.

Jelas Amar, dia mengeluarkan produk tudung dan baju muslimah berikutan kebanyakkan peminat adalah daripada kalangan wanita bertudung.

"Kalau saya buat baju lelaki siapa yang nak beli? Peminat saya kebanyakkan wanita muslimah dan lebih baik saya menjual berkaitan barangan yang mereka boleh beli.

"Buat masa sekarang saya keluar tudung dahulu dan Insya-Allah sebelum raya nanti kita akan keluar baju dan jubah," ujarnya.

Sementara itu mengenai perkembangan kerjaya lakonan, Amar berkata dia kini sedang dalam penggambaran drama episod berjudul MrLondon MsLangkawi yang bakal keluar tidak lama lagi.

Amar berkata, dia bakal membawakan watak  pembantu kepada watak utama yang dilakonkan oleh Zul Ariffin.

"Saya tidak kisah watak utama atau pembantu, apa yang penting karakter untuk watak itu merupakan karakter yang saya suka.

"Watak pembantu dalam sesebuah filen atau drama sama penting dan ia membantu sesebuah jalan cerita itu," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Amar Baharin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan