Vokalis Terra Rossa Didenda RM7,000 Miliki Dadah

Diterbitkan: Khamis, 12 Februari 2015 2:52 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Vokalis baharu kumpulan Terra Rossa pada Khamis didenda RM7,000 atau 18 bulan penjara setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan penyalahgunaan dadah.

Majistret Zulyana Zollkapli turut memerintahkan Khairul Hizam Kaha, 39, berada dalam pengawasan polis selama dua tahun.

Vokalis yang lebih dikenali sebagai Jijam itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.41 gram di kawasan Axis Atrium, Taman Cempaka, Ampang di sini pada 4.30 petang, 10 Dis tahun lepas.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, dia didapati menggunakan methamphetamine pada 7.15 malam, 29 Mei tahun lepas dan memasukkan dadah ke dalam badannya pada 6.30 petang, 10 Dis tahun lepas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya.

Mahkamah turut memerintahkan Khairul Hizam membayar denda RM3,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan memiliki dadah manakala denda RM2,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Khairul Hizam, yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia hanya berniaga sendiri dan tiada pendapatan tetap selain perlu menyara tiga anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahannya itu.

Jijam merupakan pemenang persembahan terbaik dan juara pencipta lagu untuk program Mystarz LG musim pertama pada 2007.

Beliau menyertai Terra Rossa pada tahun 2012 dan merakamkan album terbaru bersama kumpulan itu pada 2013. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Terra Rossa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan