Elfaeza Ul-Haq Bantu Peminat Kuruskan Badan

Diterbitkan: Khamis, 29 Januari 2015 12:30 AM

Elfaeza sertai program Jom Kurus 1Malaysia bagi membantu peminat menguruskan badan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Elfaeza Ul-Haq mengambil keputusan untuk bertindak sebagai jurulatih kecergasan program Jom Kurus 1Malaysia yang diasaskan oleh Kevin Zahri kerana ingin membantu peminatnya mengurangkan berat badan dan menjalani kehidupan sihat.

Elfaeza, 30, berkata, dia tertarik untuk menyertai program berkenaan kerana ingin berkongsi pengalamannya kuruskan badan sebelum ini dengan teknik dan kaedah yang betul.

"Jujurnya saya bukan seorang jurulatih gim bertauliah tetapi saya mempunyai banyak pengalaman dalam mengurangkan berat badan sebelum ini yang ada di antaranya tidak berjaya dan memerlukan kos tinggi.

"Bagaimanapun menerusi program ini saya ingin tekankan bahawa teknik senaman yang betul dan pemakanan sihat adalah satu-satunya cara untuk kurus dan pada masa sama hidup sihat," katanya kepada mStar Online.

Elfaeza ditemui selepas pelancaran drama bersiri Keluarga Karaoke di Red Box Pavillion dekat sini pada Selasa lalu.

Selain Elfaeza, drama 60 episod itu turut dibintangi oleh Raja Ema, Sherry Ibrahim, Elyana, Zarina Zainuddin, Beego dan Dazrin Kamarudin.

Elfaeza bakal muncul dalam drama bersiri Keluarga Karaoke.

Ia bakal disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam bermula 9 Februari depan di saluran Mustika HD (134).

Dalam pada itu, Elfaeza berkata, program selama enam minggu itu telah pun bermula sejak 17 Januari lalu namun untuk sesi pertama ini dia hanya mengambil lapan orang peserta sahaja.

Dia juga mahu memberi fokus kepada setiap peserta dengan program dirancang untuk mereka dan bersyukur ia mula menampakkan hasil positif.

"Saya akan bertemu mereka tiga kali seminggu dan kebiasaannya saya akan membawa mereka menjalani aktiviti di luar bagi mengelakkan mereka bosan.

"Ramai yang takut untuk mula bersenam tetapi sebenarnya ia aktiviti menyeronokkan dan dapat memberi pelbagai kebaikan jika dilakukan dengan betul," ujarnya.

Tambahnya lagi, dia berhasrat untuk meneruskan program berkenaan dengan penyertaan lebih ramai peserta selepas kumpulan pertama selesai menjalani latihan yang dijangka berakhir pada akhir Februari ini.

Tags / Kata Kunci: Elfaeza Ul-Haq , Jom Kurus 1Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan