Anugerah Juara Lagu Ke 29 (AJL 29) Raih 6 Juta Penonton

Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 7:46 PM

Joo Flizzow dan SonaOne memenangi anugerah Juara Lagu dengan karya mereka Apa Khabar.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Anugerah Juara Lagu ke 29 (AJL 29) yang disiarkan di TV3 pada Ahad lalu merupakan sebuah rancangan hiburan berpengaruh apabila berjaya mencatatkan lebih 6 juta penonton.

TV3 dalam satu kenyataannya kepada mStar Online pada Rabu menjelaskan, berdasarkan ukuran dibuat Nielsen Audience Measurement, acara hiburuan  itu mendominasi sebanyak 60 peratus jumlah penonton televisyen di negara ini.

15,000 penonton pula membanjiri stadium Putra Bukit Jalil bagi menyaksikannya.

AJL 29 turut menunjukkan peningkatan sebanyak 18 peratus tontonan dalam talian dan mencatatkan jumlah keseluruhan 128,308 penonton menerusi laman web  www.anugerahjuaralagu.com dan www.tonton.com.my 

Kandungan atas talian yang boleh ditonton secara global live streaming memperlihatkan Malaysia sebagai  penyumbang utama iaitu sebanyak 54,345 pelayar diikuti negara-negara lain seperti Singapura (9,282),  Brunei (2,888) dan United Kingdom (2,766).

Mojo dan Caliph Buskers memenangi Persembahan Terbaik.

TV3 dalam kenyataannya menambah, antara klip video persembahan yang paling mendapat sambutan adalah lagu Romancinta  dendangan Mojo bersama Caliph Buskers.

Portal muzik AJL 29, Tonton Music (www.tontonmusic.com.my) juga mendapat tempat di kalangan peminat  muzik apabila hampir 10,000 pelayar mendengar lagu-lagu finalis AJL 29 dalam tempoh kurang 12 jam selepas acara berprestij itu berlangsung.

Lagu Romancinta telah meraih jumlah streaming tertinggi iaitu sebanyak  1,477 diikuti  Malaikat (521) dan Di Pintu Syurga (510).

AJL 29 yang memilih tema “Gema  Dalam Muzik” mengangkat lagu Apa Khabar nyanyian SonaOne dan Joe Flizzow sebagai Juara Lagu.

Tempat kedua dimenangi Shila Amzah dengan lagu Masih Aku Cinta sementara lagu Di Pintu Syurga nyanyian Dayang Nurfaizah memperoleh Tempat ketiga.

Dayang turut memenangi vokal terbaik lagu berkenaan.

Persembahan Terbaik menjadi milik Mojo dan Caliph Busker yang mendendangkan lagu Romancinta.
Tags / Kata Kunci: AJL 29 , Anugerah Juara Lagu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan