'Apa Khabar' Juara AJL 29

Diterbitkan: Isnin, 19 Januari 2015 12:07 AM

Lagu 'Apa Khabar' ciptaan Joe Flizzow dan Sonaone muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29). -SHAARI CHEMAT/THESTAR

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lagu ciptaan Joe Flizzow dan Sonaone berjudul Apa Khabar muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil di sini pada Ahad.

Dengan kemenangan lagu yang turut dinyanyikan kedua-dua artis itu, mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah trofi.

Apa Khabar berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Gilalah (Stacy), Gadis Jolobu (Datuk Hattan & Waris), Malaikat (Hazama), Romancinta (Mojo) dan Lelaki (Najwa).

Turut bertanding Matahari (Hafiz Suip), Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Rentak Laguku (Bunkface & Amy Search), Sesal Separuh Nyawa (Alyah) dan Percayalah (Indah Ruhaila).

Naib Juara AJL 29 dimenangi oleh Shila Amzah dengan lagu Masih Aku Cinta membolehkan dia membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM35,000.

Kolaborasi Joe dan Sonaone membawa tuah.

Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga dimenangi oleh lagu Di Pintu Syurga ciptaan Tam (Spider) dan lirik oleh Iman Imran nyanyian Dayang Nurfaizah.

Mereka berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM20,000.

Dayang turut diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik pada malam itu dan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.

Manakala persembahan bertenaga kumpulan Mojo yang menyampaikan lagu Romancinta bersama Caliph Busker melayakkan mereka menerima Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.

Persembahan Mojo mendapat tumpuan ramai apabila menampilkan penyanyi orang kelainan upaya (OKU).

Lagu Di Pintu Syurga ciptaan Tam (Spider) dan Iman Imran nyanyian Dayang Nurfaizah memenangi tempat ketiga AJL29.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Persembahan 12 finalis AJL 29 diadili seramai 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Siti Nurhaliza, Aubrey Suwito, Faizal Tahir, Acis, Loque, Cat Farish, Azlan Abu Hassan dan Moots (Pop Shuvit).

Azmeer bertindak sebagai ketua juri pada acara itu.

Penghakiman dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.

Diangkat sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL 29 mengangkat 'Gema Dalam Muzik' sebagai konsep dan tema persembahan pada tahun ini.

Mojo menampilkan kumpulan Caliph Busker dan persembahan mereka mendapat pujian.

Hampir tiga dekad sejak penganjurannya, Anugerah Juara Lagu (AJL) bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutamanya memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.

Persembahan pembukaan acara itu turut memberikan interprestasi Gema Dalam Muzik apabila beberapa alat muzik dimainkan secara 'battle' oleh Black (Wings), Joe (Wings), Ujang (Exists), Rody (Kristal), Genervie dan Yanz (Letfhanded).

Datuk M.Nasir turut menyampaikan persembahan medley menerusi lagu Hati Emas dan Mentera Semerah Padi.

Enam protoge Mentor Legend iaitu Azmil, Fahmie, Tuah, Aina, Nadeera dan Sarah turut mengadakan sebuah persembahan khas bagi mengenang bencana dan musibah yang melanda negara sepanjang 2014.

Selain itu kumpulan terkenal Headwind, Tomok dan Ronnie turut memberikan persembahan pada malam itu.

Vokal Terbaik milik Dayang.

AJL 29 yang disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam itu menyaksikan penampilan AG dan Scha Al-Yahya sebagai hos.

Manakala pelakon Juliana Evans dan kumpulan Titan (Bintang Mencari Bintang) diberikan mandat menemubual para finalis dalam segmen 'backstage'.

AJL 29 dipancarkan oleh Pamoga dan Qu Puteh sebagai penaja utama dan Nu Sentral selaku penaja bersama.

Tags / Kata Kunci: AJL 29 , Joe Flizzow , Sonaone

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan