Pilih Gadis Senegeri, Hafiz Suip Bertunang Februari Depan

Diterbitkan: Isnin, 12 Januari 2015 6:42 PM

Hafiz bersama bakal tunangnya Effy.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip bakal melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya yang merupakan seorang pelajar dikenali sebagai Effy pada 27 Februari ini.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip 25, berkata, majlis pertunangan tersebut akan diadakan di Hotel Pullman, Kuching Sarawak.

"Saya akan melangsungkan pertunangan pada bulan hadapan. Cuma saya boleh beritahu nama gadis tersebut Effy dan berusia awal 20-an.

"Saya tidak boleh mendedahkan terlalu mendalam tentang identiti bakal tunang saya itu memandangkan perlu menjaga privasi dia kerana ketika ini dia masih belajar lagi," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui semasa majlis pelancaran showcase Hafiz & Friends di sini, pada Isnin.

Katanya, Majlis merisik telah diadakan di rumah wanita tersebut di Kuching, Sarawak pada 21 Disember tahun lalu.

Hafiz turut memberitahu dia merancang untuk mendirikan rumah tangga pada pertengahan 2016 selepas wanita tersebut tamat pengajian di sebuah universiti swasta.

Ketika ditanya tentang perkenalan mereka berdua, Hafiz memberitahu mereka sudah lama berkenalan sejak lima tahun lalu, iaitu ketika dia belum lagi bergelar seorang artis.

Katanya, sepanjang perkenalan dia tidak tahu gadis berkenaan menaruh hati kepadanya sehinggalah mereka menjalinkan ikatan percintaan pada awal tahun 2013.

"Kalau ditanya apa yang membuatkan saya tertarik dengannya, saya lihat dia seorang yang sangat lemah-lembut dan begitu menghormati orang tua.

"Berkenaan dengan perancangan untuk berkahwin pula, saya akan tunggu bakal tunang saya itu tamat belajar dahulu yang berakhir pada pertengahan 2016," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Hafiz Suip

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan