Fadilah Mansor Tidak Kekok Bergelar Isteri A Rahman Hassan

Diterbitkan: Isnin, 12 Januari 2015 12:31 AM

Fadillah gembira dapat menjalankan tugas sebagai isteri kepada A Rahman.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Datin Fadilah Mansor berasa gembira kembali bergelar isteri kerana dapat melakukan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan seorang lelaki bernama suami.

Fadilah, 57, berkata, dia tidak berasa kekok melakukan tugas sebagai seorang isteri malah gembira dapat menjaga segala kebajikan suaminya, penyanyi era 60-an, Datuk A Rahman Hassan.

"Alhamdulillah. Itu sahaja kata yang dapat saya katakan sejak bergelar isteri kerana selain mendapat seorang suami yang penyayang dan baik hati saya juga kembali dapat melakukan semua tugas sebagai isteri terhadap seorang suami.

"kehidupan saya kini penuhi dengan kegembiraan kerana dapat menguruskan rumah tangga, suami, anak-anak. Semuanya kembali seperti sediakala," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

[SAKSIKAN VIDEO: "Datuk Ni Degil Sikit" - Usik Fadilah Mansor Mengenai A Rahman Hassan]

A Rahman dan Fadilah disatukan dalam sebuah majlis akad nikah yang diadakan di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dihadiri lebih 400 tetamu.

Untuk rekod, Fadilah merupakan seorang ibu tunggal selepas bercerai dengan bekas suaminya, pengarah filem veteran, Ahmad Ibrahim atau Mat London.

Fadillah dan A Rahman disatukan sebagai suami isteri pada 25 Disember tahun lalu.


Manakala A Rahman pula kematian isteri, Datin Azizah Mohamad pada 26 April tahun lalu akibat penyakit kanser.

Dalam pada itu, Fadilah berkata, sejak berkahwin dia gemar memasak untuk suaminya memandangkan A Rahman seorang yang suka menikmati makanan terutamanya masakan kampung.

"Suami lebih suka makan dirumah dan sudah tentu menu utama pilihannya masakan kampung dan yang berkuah malah dia bertambah gembira apabila dapat makan bersama anak-anak dan adik-beradik lain sekiranya mereka lapang," ujarnya.

Sementara itu, Fadilah berkata, dia tidak bercadang untuk memperlahankan karier lakonannya kerana mendapat izin daripada A Rahman untuk meneruskan kerjayanya.

Jelasnya, A Rahman sentiasa memberi sokongan dan galakan kepadanya untuk terus aktif berlakon kerana memahami minatnya itu selain tidak mahu dia berasa bosan tanpa melakukan sebarang aktiviti.

"Biarpun sudah berkahwin saya akan tetap berlakon seperti biasa malah suami pun menggalakkan saya berbuat demikian kerana beliau faham itu adalah minat saya.

"Malah beliau sendiri masih menerima undangan nyanyian sekiranya ada jemputan dan kami sama-sama menyokong kerjaya masing-masing," katanya.

Bagaimanapun kata Fadilah, sebagai seorang isteri dia memahami batasnya dan akan lebih mementingkan rumah tangga berbanding kerjayanya.
Tags / Kata Kunci: Fadillah Mansor , A Rahman Hassan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan