Kamal Adli Minta Tidak Dituduh Punca Putus Cinta Zizan & Emma Maembong

Diterbitkan: Rabu, 7 Januari 2015 2:28 PM

Kamal Adli

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: “Jangan pandai-pandai nak tuduh!” Demikianlah reaksi ringkas pelakon Kamal Adli apabila diminta komen adakah dia menjadi punca kemusnahan cinta antara pasangan pelakon Zizan Razak dan Emma Maembong.

Kamal, 29, yang terkejut dengan perpisahan itu turut memberitahu berasa risau kerana berita itu turut memberi persepsi kepada orang ramai kononnya dia menjalinkan hubungan dengan Emma adalah benar.

"Takkan saya nak merampas kekasih orang? Jangan pandai-pandai tuduh.

"Gara-gara perpisahan mereka, nama saya pula dikaitkan. Bukan saya yang menjadi punca.

“Kami hanyalah rakan kerja yang terlibat dengan drama Cinta Tanpa Syurga.  Tidak lebih daripada itu," tegasnya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Emma menerusi laporan sebuah akhbar pada Rabu telah mengesahkan bahawa hubungannya dengan pelawak Zizan Razak sudah pun berakhir namun dia enggan bercerita lanjut punca perpisahan itu.

Sebelum ini Emma pernah dikaitkan dengan Kamal Adli kononnya mereka dilihat semakin mesra sejak terlibat dalam drama Cinta Tanpa Syurga.

Emma sahkan hubungannya dengan Zizan sudah berakhir.

Sementara itu, Kamal berharap mana-mana pihak yang masih menuduh dia menjadi punca perpisahan pasangan tersebut agar selidik dahulu kesahihan berita berkenaan sebelum membuat spekulasi.

Kata Kamal,  dia menyangka sejak putus cinta dengan Intan Ladyana pada pertengahan tahun lalu, namanya tidak lagi menjadi bahan gosip, sebaliknya cerita lain pula yang timbul.

Dalam pada itu, ditanya adakah dia kini sudah mempunyai kekasih baru, kata Kamal, buat masa ini dia lebih selesa memberikan komitmen sepenuhnya terhadap kerjaya seni.

"Perkara lalu (putus dengan Intan), saya sudah boleh terima hakikat, tetapi belum bersedia untuk mencari pengganti.

"Kalau boleh saya ingin fokus kepada kerjaya seni saya. Mungkin ini peluang saya untuk mengasah lagi bakat yang ada untuk menjadi pelakon yang lebih baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kamal kini terlibat dengan penggambaran drama Pergilah Airmata bersama pelakon Nelydia Senrose, Izreen Azminda, Amar Asyraf dan Azlee Khairi.
Tags / Kata Kunci: Kamal Adli , Emma Maembong , Zizan Razak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan