Ahmad Idham Tawakal 'Romeo Kota' Ditayang Selepas Bencana Banjir - Berita Hiburan | mStar

Ahmad Idham Tawakal 'Romeo Kota' Ditayang Selepas Bencana Banjir

Diterbitkan: Rabu, 31 Disember 2014 12:14 PM

Ahmad Idham (dua dari kanak) bersama barisan pelakon Romeo Kota.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penerbit filem Romeo Kota, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sekadar tawakal kepada Allah terhadap kutipan filem tersebut kerana ia ditayangkan ketika negara masih dalam keadaan sedih dengan bencana banjir.

Ahmad Idham berkata, tarikh tayangan yang bermula pada 8 Januari depan itu mungkin waktu yang sesuai apabila keadaan bencana itu pulih sepenuhnya.

"Saya menyerahkan perkara itu kepada rezeki. Beberapa filem ditayangkan ketika ini seperti Ophilia dan Manisnya Cinta di Cappadocia masih mendapat kutipan yang baik.

"Lagi pula filem ini ditayangkan seminggu lagi dan ketika itu mungkin semuanya sudah pulih seperti biasa," ujarnya pada sidang media selepas tayangan perdana filem Romeo Cinta di e@Curve, di sini, Selasa.

Sementara itu, Idham berkata, Romeo Kota merupakan filem terbitan Excellent Pictures pertama yang memberi kepercayaan kepada pelakon Aaron Aziz sebagai pengarah.

Aaron Aziz
Dia berpuas hati dengan komitmen yang diberikan pelakon popular itu dan hasil filem bergenre aksi komedi berkenaan mencapai apa yang diharapkan.

"Saya percaya dengan bakat dan pengalaman dia sebagai seorang pelakon untuk duduk di kerusi pengarah. Dia beri komitmen yang sangat baik serta hasil yang sangat membanggakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Aaron mengakui masih terlalu banyak perkara yang perlu dipelajarinya dalam bidang pengarahan.

Jelasnya, tanggungjawab sebagai pengarah bukan mudah seperti yang disangkakan selama ini.

"Saya hanya lakukan apa yang termampu dan sepanjang 27 hari sebagai pengarah banyak memberi pengalaman kepada saya.

"Cabaran utama ialah sentiasa perlu bersedia dengan rancangan kedua jika rancangan pertama gagal," ujarnya.

Tambahnya, selain turut berlakon, dia juga mengakui bajet yang ditetapkan oleh produksi memberi cabaran dan tekanan kepadanya.

"Bila jadi pengarah semua keputusan perlu dilakukan sendiri. Saya akui agak sukar untuk meminta pelakon yang ada nama seperti Datin Nina Juren untuk berlakon lebih kerana bajet yang diberikan terhad.

"Namun, saya anggap ia sebagai satu cabaran seperti mana yang dilalui oleh pengarah-pengarah lain," katanya.

Filem Romeo Kota ditayangkan di 54 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 8 Januari depan.

Filem tersebut turut dibintangi oleh Nabil Ahmad, Hanis Zalikha, Fizo Omar, Sofi Jikan, Sleeq, dan Nina Juren.
Tags / Kata Kunci: Romeo Kota , Ahmad Idham

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan