Hasrat Halim Othman Kendali Segmen Sukan Tercapai

Diterbitkan: Ahad, 28 Disember 2014 12:25 AM

Halim bakal mengendalikan segmen Grandstand Suria di Suria FM bermula Januari 2015.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hasrat penyampai radio Suria FM Halim Othman untuk mengendalikan program berbentuk sukan tercapai apabila stesen radio tersebut memberi kepercayaan kepadanya menguruskan segmen Grandstand Suria bermula Januari 2015.

Halim berkata, sebagai seorang yang begitu meminati bidang sukan, segmen yang dipertanggungjawabkan bersama Naim Tahak itu sudah pasti tidak akan disia-siakannya.

“Mengendalikan segmen sukan merupakan antara perancangan saya. Dah lama saya mengidamkan untuk membicarakan perihal sukan kerana saya sendiri begitu meminati bidang sukan.

"Setelah 15 tahun berada di dalam industri,  saya merasakan ini peluang yang baik dan saya cukup teruja”, katanya.


Segmen Grandstand Suria memberikan laporan-laporan terkini mengenai sukan, temubual eksklusif bersama atlit-atlit serta personaliti yang terbabit dalam industri sukan.

Ia bakal keudara pada setiap hari Sabtu dan Ahad, bermula pukul 6 hingga 10 pagi.

Sementara itu, menurut Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin, Halim dilihat sebagai personaliti yang paling layak mengendalikan segmen tersebut apatah lagi dia mempunyai pengetahuan dunia sukan yang luas.

"Halim antara yang banyak memberikan pendapat serta melontarkan idea dalam memperbaiki mutu Suria FM dan dia juga menyatakan keinginannya untuk mengendalikan segmen itu.

"Dengan pengalaman dan personaliti yang ada, rasanya Halim adalah orang yang paling layak. Tambah pula dia mempunyai keserasian dengan seorang lagi penyampai radio kami, Naim Tahak," ujarnya.

Sehingga akhir tahun ini, Halim masih lagi bergandingan dengan Adibah Noor menerusi segmen Ceria Pagi, setiap Isnin hingga Jumaat bermula 5 pagi hingga 10 pagi.

Tags / Kata Kunci: Suria FM , Halim Othman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan