'Teman Rapat' Remy Ishak Tertekan Kisah Peribadi Mula Didedahkan

Diterbitkan: Selasa, 9 Disember 2014 12:30 AM

Remy Ishak

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak berkata, sejak membuat pengakuan sedang rapat dengan Pengarah Urusan Roistz Labels, Roszaliza Yusof, wanita itu sedikit tertekan apabila terpaksa berdepan dengan pihak yang cuba mendedahkan kisah peribadinya kepada umum.

Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 32, perkara itu membuatkan dia serba salah dan terpaksa meminta maaf kepada Roszaliza memandangkan wanita itu tidak pernah mengalami situasi seperti itu.

"Saya tahu orang mula 'mengorek' rahsia siapa wanita yang makin rapat dengan saya kini dan kerana itu segala hal peribadinya mula diselongkar.

"Pihak sana (Roszaliza) agak berkecil hati dan sedih kerana terkejut dengan situasi itu dan saya terpaksa menerangkan bahawa inilah dunia hiburan apabila berkawan dengan saya.

"Keadaan itu membuatkan saya terpaksa memohon maaf kepadanya. Yelah, dia bukannya biasa dengan keadaan seperti ini," katanya kepada mStar Online.

Remy dan Roszaliza kini sedang mengenali hati budi masing-masing.

Pada 22 November lalu, menerusi sebuah portal, Remy membuat pengakuan bahawa dia sedang mengenali seseorang iaitu Roszaliza yang juga rakan kongsinya.

Perkara itu membuatkan peminat-peminat aktor berkenaan mula mencari maklumat Roszaliza dan kemudian mendedahkan beberapa foto-foto peribadi wanita itu di laman sosial dan forum.

Tambah Remy, perkara tersebut membuatkan dia lebih selesa mengasingkan diri daripada umum atau tidak mendedahkan kisah peribadinya secara terperinci. 

"Sebab itu saya tidak gemar berkongsi hal peribadi. Bila tak cakap, orang cuba korek, tetapi apabila dah kongsi cerita, jadi lain pula. Susahnya jadi Remy Ishak yer..," ujarnya.

Sementara itu, tambah Remy, meskipun mengaku berkawan rapat dengan Roszaliza, aktor itu memilih untuk tidak melabelkan sebarang status dalam perhubungan itu memandangkan mereka masih lagi dalam proses mengenali hati budi antara satu sama lain.

Malah, kata Remy, dia lebih selesa jika perhubungan itu diletakkan sebagai perhubungan teman rapat buat masa ini.

"Prinsip saya, selagi tiada ikatan, saya tidak berani nak mengesahkan status perhubungan ini kerana ianya belum rasmi dan boleh terputus pada bila-bila masa saja.

"Ini kerana, yang mendapat malunya nanti adalah keluarga di kedua-dua belah pihak," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Remy kini sedang terlibat dengan latihan teater Takhta 3 Ratu yang akan dipentaskan bermula 13 hingga 22 Disember ini di Istana Budaya.

Kata Remy, dia begitu teruja memandangkan sudah lama tidak terlibat dengan teater sejak penglibatannya dalam pementasan Natrah pada 2010.

"Memandangkan saya sudah lama tidak berlakon teater, maka latihan diperlukan setiap hari.

"Kiranya, untuk beberapa bulan ini, teater akan menjadi meditasi diri dan makanan jiwa saya bagi mengasah lagi bakat lakonan untuk menjadi lebih baik," katanya.

Takhta 3 Ratu mengisahkan tentang puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Feby Febiola) yang berkahwin dengan Sultan Mansur (Azri Iskandar)  terluka hati apabila suaminya itu mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China.

Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terkejut apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu iaitu tunangan kepada Megat Panji Alang (Remy Ishak).
Tags / Kata Kunci: Remy Ishak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan