Anuar Zain Simpan Impian Buka Pusat Dialisis

Diterbitkan: Ahad, 7 Disember 2014 12:20 AM

Anuar Zain menyampaikan 11 buah lagu pada majlis tersebut

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain memberitahu impiannya adalah untuk membuka sebuah pusat rawatan dialisis bagi membantu masyarakat  yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan penyakit buah pinggang.

Anuar berkata, hasrat tersebut disimpan apabila melihat ramai ahli keluarga dan rakan-rakannya yang meninggal dunia sebelum mendapatkan rawatan di pusat dialisis.

"Sejak lama dahulu saya menyimpan impian mahu membuka sebuah pusat dialisis bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan.

"Ini kerana ramai ahli keluarga dan rakan-rakan rapat saya yang meninggal dunia kerana sukar untuk menerima rawatan di pusat dialisis. Namun itu dulu, sekarang saya lihat sudah banyak dan mudah juga untuk dapat rawatan tersebut," katanya kepada mStar Online.

Turut memeriahkan majlis Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.


Anuar berkata demikian ketika ditemui selepas Showcase Dinner Bersama Anuar Zain yang dianjurkan oleh Institut Jantung Negara (IJN), bagi mengutip dana meringankan beban kumpulan sokongan PCHC.

Majlis bertemakan Sempurnakan Aku ini diadakan di The Majestic Hotel, malam Jumaat.

Sementara itu, Anuar mengakui gembira apabila malam amal tersebut berjaya mengumpul sebanyak RM863,300 hasil sumbangan daripada 32 badan korporat.

"Alhamdulillah rezeki pada malam ini sangat bagus dan ia adalah kerja keras pihak IJN. Pada saya kita berjaya untuk memberi kesedaran kepada masyarakay tentang kumpulan sokongan ini.

"Kita boleh salurkan bantuan dengan pelbagai cara dan bukan hanya dengan wang ringgit semata-mata tetapi juga kepakaran yang ada," ujarnya.


Pada majlis hampir dua jam itu, Anuar menyampaikan 11 buah lagu popularnya termasuk Keabadian Cinta, Sempurnakan Aku, Ajari Aku, Ketulusan Hati dan Sedetik Lebih.

Seramai 700 tetamu yang hadir terhibur dengan persembahan dan kemesraan penyanyi tersebut apabila bertindak turun dari pentas bagi melayan tetamu yang ingin bergambar dengannya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Beberapa rakan artis turut memeriahkan majlis tersebut ialah Misha Omar, Jaclyn Victor dan Salamiah Hassan.
Tags / Kata Kunci: Anuar Zain

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan