Liyana Jasmay Mengaku Kenalkan Pemuda Kepada Intan Ladyana

Diterbitkan: Selasa, 2 Disember 2014 1:17 PM

Liyana Jasmay terkejut dikatakan sebagai antara punca perpisahan aktres Intan Ladyana dan Kamal Adli.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Aktres Liyana Jasmay menyangkal dakwaan kononnya dia menjadi punca kehancuran hubungan cinta Intan Ladyana dan Kamal Adli selepas dia memperkenalkan seorang lelaki kepada wanita itu.

Liyana, 25, menegaskan dia memperkenalkan individu yang dimaksudkan kepada Intan hanya selepas hubungan pasangan berkenaan putus.

Malah Liyana Jasmay juga tidak melihat ia sebagai satu kesalahan kerana Intan tidak lagi mempunyai ikatan dengan Kamal.

"Pemuda tersebut rakan kepada suami saya dan tidak ada salahnya saya memperkenalkan dia kepada Intan kerana Intan pun sudah kembali solo.

"Bagaimanapun tujuan saya itu bukan hendak menjodohkan mereka tetapi hanya sekadar mahu mereka berkawan sahaja dan tiada kena mengena dengan soal percintaan Kamal dan Intan sebelum ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.

Lelaki (berbaju kotak) di sebelah Intan dikaitkan dengan Intan ketika ini. 

Intan dan Kamal sebelum ini bercinta selama enam tahun namun hubungan mereka putus pada akhir Ramadan lalu.

Aktres itu dikatakan sudah bosan kerana Kamal dilihat tidak serius untuk meneruskan cinta mereka ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan.

Bagaimanapun Intan sebelum ini  menafikan laporan dia sedang bercinta dengan seorang pemuda selepas kehancuran cintanya dengan Kamal.

Dalam pada itu, Liyana berkata, dia tidak pernah mencampuri sebarang urusan peribadi rakan baiknya itu kerana merasakan tidak manis berbuat demikian.

Malah katanya, sejauh mana hubungan Intan dengan rakan suaminya itu adalah terpulang kepada wanita tersebut kerana soal hati dan perasaan bukan sesuatu yang boleh dipaksa.

"Perjumpaan Intan dan pemuda berkenaan tidak lebih sebagai seorang rakan. Selebihnya itu terpulang kepada Intan dan sebagai seorang kawan baik saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: Liyana Jasmay , Intan Ladyana.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan