Rita Rudaini Malu Digandingkan Dengan Aktor Muda

Diterbitkan: Isnin, 1 Disember 2014 12:30 AM

Rita Rudaini. Foto M. AZHAR ARIF / THE STAR

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini berasa malu apabila sering ditawarkan menjadi heroin bergandingan dengan pelakon lelaki lebih muda dalam sesebuah drama yang dibintangi walaupun usianya sudah mencecah 38 tahun.

Rita berkata, meskipun masih diberi kepercayaan memegang watak utama, dia tetap risau perkara tersebut akan membuatkan dirinya dilihat lebih tua daripada gandingannya itu.

"Saya risau juga apabila digandingkan dengan pelakon muda, takut saya nampak tua dan tidak sesuai dengan gandingan saya di televisyen nanti.

"Tetapi sehingga kini saya sering ditawarkan menjadi heroin kepada aktor-aktor muda dan berdasarkan kata pengarah, pihak stesen TV yang mahukan saya. Nak tergelak pun ada,  saya anggap semua ini rezeki buat anak-anak," katanya kepada mStar Online.

Rita ditemui selepas majlis pelancaran produk Rudaini Beaute di Hotel Royal Chulan di sini pada Ahad.

Majlis tersebut disempurnakan oleh isteri kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Datin Seri Nor Aswana Omar.

Dalam pada itu, Rita yang baru selesai penggambaran drama Satu Hari bersama Remy Ishak memberitahu, dia turut bersyukur kerana masih lagi diberi peluang menjadi heroin di mana tidak semua pelakon wanita seusianya berpeluang memegang watak utama.

"Apa-apapun, saya hanya menerima tawaran lakonan sekiranya pelakon lelaki itu pernah bergandingan dengan saya. Kalau tidak, susah untuk saya mendapatkan keserasian.

"Malah saya akan menolak dengan baik jika ada penerbit yang mahu saya bergandingan dengan aktor berwajah 'jambu'. Rasa macam dah tak sesuai sangat dah tu," selorohnya.

Sementara itu, mengenai  Rudaini Beaute, rangkaian produk tersebut terdiri daripada set penjagaan kesihatan dalaman iaitu Luv My Coffee serta set kecantikan Rudaini Beaute Skincare dan Angel Mask.

Rudaini Beaute memasarkan produk-produk menerusi kaedah pemasaran secara talian menggunakan laman sosial Instagram rasmi iaitu @b_fabulousgalleria dan @luvmycoffee_rr selain stokis yang dilantik secara sah bermula 1 Disember 2014.

Untuk sebarang keterangan lanjut, hubungi Cik Ala (019-2636501) dan Wawa (012-4808727).
Tags / Kata Kunci: Rita Rudaini

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan