Atilia Harap Bakal Dapat Bayi Kembar

Diterbitkan: Isnin, 1 Disember 2014 1:08 PM

Atilia dan Adam telah diijabkabulkan pada 30 Ogos lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Atilia telah membeli alat ujian kehamilan dalam jumlah yang banyak bagi memudahkan dia membuat ujian setiap bulan di rumah.

Atilia atau nama sebenarnya Raja Puteri Atilia Raja Haron, 40, berkata, dia dan suaminya, Adam Sofian Mazlan, 37, tidak sabar mahu menimang anak dan mengharapkan anak kembar sekiranya diberikan rezeki.

"Bayangkan saya beli berbungkus-bungkus alat ujian kehamilan. Seganlah kalau beli berulang kali di kedai, orang cakap apa pula.

"Lagipun, ia memudahkan saya melakukan sendiri ujian kehamilan di rumah. Kalau boleh kami nak empat orang anak, kiranya dua pasangan kembar, mesti seronok," katanya kepada mStar Online.

Atilia ditemui selepas majlis persandingannya dengan Adam yang berlangsung di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini pada malam Ahad.


Majlis tersebut telah berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dengan konsep persandingan moden kontemporari.

Bermula pada pukul 9 malam, kira-kira 800 tetamu memenuhi ruang dewan tersebut terdiri daripada tetamu kehormat, ahli keluarga, sahabat handai dan rakan artis.

Kedua-dua pasangan pengantin yang menggayakan busana rona putih rekaan Rico Rinaldi berarak masuk ke dalam dewan utama diringi ahli keluarga terdekat untuk ke pelamin utama.

Sepanjang berlangsungnya majlis, pasangan pengantin dan tetamu dihiburkan oleh penyanyi Ning Baizura, Alyah dan ibu kepada penyanyi itu, Salamiah Hassan selain beberapa kumpulan penari tradisional.

"Alhamdulillah, majlis ini berlangsung dengan lancar. Sebenarnya kami inginkan majlis yang sederhana, tetapi keluarga Adam pula mahu meraikan kami. Jadi kami ikutkan sahaja.

"Selepas ini, saya dan Adam akan sibuk dengan kerja masing-masing. Saya pula akan sibuk dengan kerja-kerja menyiapkan album terbaharu selain menguruskan studio Yoga, Yogaonethatiwant," ujarnya.

Atilia dan Adam yang juga merupakan jurutera bunyi telah bernikah di sebuah majlis tertutup di Saujana Golf & Country Club pada 31 Ogos lalu.

Ini merupakan perkahwinan kedua buat Atilia.

Terdahulu, penyanyi jaz itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Ariff Johan Abdul Aziz pada 18 Disember 1998 dan mereka bercerai pada Januari 2009.

Ariff Johan telah meninggal dunia pada 7 Ogos lalu akibat penyakit kanser hati.

Tags / Kata Kunci: Atilia , Adam Sofian Mazlan , Kahwin 2014

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan