Pahang Juara Piala Malaysia, ERA FM Putar Lagu Siti Nurhaliza Sepanjang Hari

Diterbitkan: Isnin, 3 November 2014 12:35 AM

Datuk Siti Nurhaliza

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Stesen radio Era FM terpaksa mengotakan permintaan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin agar lagu-lagunya dimainkan tanpa henti sekiranya Pahang berjaya menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan bola sepak, Piala Malaysia yang berlangsung Sabtu lalu.

Pengurus Saluran stesen radio itu Nazri Noran berkata, pihaknya akan menyiarkan pelbagai koleksi lagu Siti pada segmen JOHARA Pagi ERA bermula dari pukul 6 hingga 10 pagi dan kemudian sebuah lagu penyanyi itu akan diputarkan setiap jam sepanjang hari Isnin (hari ini).

"Kami akan menunaikan permintaan Siti untuk memutarkan lagu-lagunya sepanjang hari Isnin di mana hanya lagu-lagunya akan keudara pada segmen JOHARA.

"Kemudian, lagu Siti masih dimainkan setiap sejam selepas segmen tersebut," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.

Khamis lalu, ERA FM telah menghubungi Siti bagi mewakili Pahang dan Amy (Search) mewakili JDT menerusi segmen JOHARA Pagi Era yang dikendalikan oleh Johan, Hanif dan Ray bagi membincangkan mengenai kehangatan perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Amy (Search)

Ketiga-tiga penyampai radio berkenaan telah membuat persetujuan bersama dua selebriti tersebut di mana sekiranya salah seorang negeri yang diwakili kalah, mereka dikehendaki menyanyi di atas 'kerusi karen' (elektrik).

Siti dan Amy pula menuntut, salah seorang yang menang akan diberi peluang di mana lagu-lagu mereka akan dimainkan sepanjang hari di radio berkenaan.

Bagaimanapun, kekalahan JDT kepada Pahang sebanyak 1-5 membuatkan Amy dikenakan 'denda' di mana dia akan duduk di kerusi karen tersebut sambil menyanyi pada Isnin iaitu pada pukul 7 pagi menerusi segmen berkenaan.


Nazri Noran

Sementara itu, Nazri berkata, mengenakan artis menerusi permainan kerusi panas tersebut merupakan salah satu segmen yang diminati pendengar-pendengar radio berkenaan.

"Memilih nama-nama besar yang akan duduk di kerusi tersebut mengundang rasa teruja peminat untuk mendengar reaksi artis-artis berkenaan apabila dikenakan.

"Kemudian, bagi yang ingin melihat reaksi artis yang terkena karen secara visual boleh disaksikan pula menerusi laman YouTube kami," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: ERA fm , Siti Nurhaliza , Amy (Search)

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan