Joe Flizzow Belum Berjaya Pujuk Malique

Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 12:30 AM

Kemungkinan Malique untuk kembali bersama Too Phat masih samar.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Usaha penyanyi rap, Joe Flizzow memujuk rakan seperjuangannya, Malique untuk menghidupkan semula kumpulan Too Phat masih belum menampakkan hasil positif.

Joe, berkata, dia sentiasa berdoa agar pintu hati Malique akan terbuka untuk kembali ke dunia seni namun tidak dapat memaksa sekirannya dia tetap dengan pendirian untuk tidak kembali ke pentas sebagai penyanyi rap.

"Saya menulis lagu 'Apa Khabar' bagi melahirkan rasa rindu untuk kembali bergabung bersamanya malah dia sendiri sudah dengar lagu tersebut sebelum ia dilancarkan lagi.

"Usaha untuk menghidupkan kembali Too Phat nampaknya masih kabur kerana dia belum bersedia untuk kembali dan saya sebagai kawan baiknya tidak mahu memaksa sekiranya itu keputusannya," katanya kepada mStar Online.

Joe ditemui pada sidang media pengumuman calon akhir Anugerah Industri Muzik ke 21 (AIM21) di hotel Istana Kuala Lumpur, minggu lalu.

Joe berjaya tersenarai dalam enam pencalonan termasuk dua pencalonan untuk kolaborasi beliau bersama kumpulan Sleeq dan Illa Damiaa menerusi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik di Dalam Lagu (Tepi Sikit/Disebalik), Kulit Album Terbaik (Havoc), Video Muzik Terbaik (Apa Khabar) dan Lagu Hip Hop Terbaik (Havoc/Apa Khabar).

AIM21 bakal berlangsung di PWTC pada 6 Disember 2014.

Joe mendapat enam pencalonan dalam AIM 21.

Tambah Joe, biarpun sudah tidak bergabung sebagai Too Phat namun mereka masih berjumpa untuk bertanya khabar sekiranya mempunyai masa terluang.

Malah katanya, sekiranya Malique bersetuju untuk kembali bergabung dia akan menjadi orang pertama mengumumkan perkara itu kepada media dan peminat.

"Saya ada berjumpa dengan dia tetapi kami jarang-jarang bercakap mengenai hal kerja dan lebih kepada untuk bertanya khabar tentang perkembangan terbaharu masing-masing.

"Ikutkan Malique masih aktif sebagai komposer kerana banyak lagu yang dibuat kini dimainkan di radio cuma tinggal lagi dia tidak muncul dihadapan kamera sahaja," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pencalonan dalam AIM 21, Joe berkata, dia kecewa apabila album Havoc tidak tersenarai dalam kategori Album Terbaik kerana merasakan ia layak untuk tercalon.

Bagaimanapun kata Joe, dia berharap Apa Khabar akan mendapat pengiktirafan kerana lagu tersebut mempunyai nilai sentimental kepadanya.

"Banyak cabaran yang terpaksa saya lalui sepanjang dua tahun menyiapkan Havoc dan sangat berharap ia akan tercalon dalam kategori Album Terbaik tetapi nampaknya bukan rezeki saya.

"Tapi saya memang berharap lagu Apa Khabar akan membawa pulang trofi pada malam itu nanti kerana ia sebuah karya yang cukup istimesa buat diri saya," katanya.

Tags / Kata Kunci: Joe Flizzow , Malique , Too Phat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan