Izzue Islam Dan Yana Samsudin Jadi Duta SiniAdaFest

Diterbitkan: Jumaat, 24 Oktober 2014 10:10 AM

Yana Samsudin dan Izzue Islam jadi duta SiniAdaFest.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Izzue Islam dan Yana Samsudin dipilih sebagai "Face of the Fast" kepada festival membeli belah CommFest : SiniAdaFest 2014 yang akan berlangsung pada 1 dan 2 November depan di Stadium Malawati, dekat sini yang dianjurkan oleh Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).

Timbalan Naib Canselor Akademik & Perantarabangsaan, Prof Dr Khairul Baharein Mohd Noor berkata, pemilihan kedua-dua pelakon ini sebagai duta adalah bagi membantu mempromosikan karnival yang dianjurkan oleh pelajar Diploma Komunikasi Korporat Semester 5 kolej tersebut.

"Kami memilih kedua-dua artis ini berikutan populariti mereka dapat membantu daripada segi mempromosikan projek akhir pelajar di kolej ini.

"Mereka juga antara artis yang sentiasa menunjukkan sokongan kepada festival-festival lain yang pernah diajurkan sebelum ini, serta kejayaan mereka di dalam industri boleh dijadikan contoh kepada golongan muda," ujarnya dalam sidang media yang dianjurkan di Kolej Poly-Tech Mara, di sini, Khamis.

Antara artis yang telibat dalam karnival tersebut Noorshila Amin, Tasha Mansahar, Izzue Islam, Yana Samsudin dan Natasha.

Selain itu lebih 24 orang artis popular turut menyertai karnival tersebut antaranya Neelofa, Alyah, Yatt Hamzah, Diana Amir, Sharifah Sakinah, Rita Rudaini, Lisdawati, Emelda Rosmila, Tasha Mansahar, Norish Karman, Sabhi Sadhi dan Mila Jirin.

Sementara itu, Khairul berkata, karnival ini merupakan pendedahan awal kepada pelajar-pelajar mengenai industri pengurusan acara dan perhubungan awam yang sebenar.

Tambahnya, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar-pelajar jurusan tersebut belajar menguruskan sesebuah acara seperti yang dipelajari melalui silibus yang ditetapkan institusi pengajian tersebut.

"Ia adalah persiapan kepada pelajar yang bakal keluar alam pekerjaan sebenar tidak lama lagi, kita tidak mahu mereka hanya belajar melalui teori yang diajar dalam kelas semata-mata," ujarnya.

Dalam pada itu, Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 30, berkata, dia menerima tawaran sebagai ikon kepada karnival tersebut adalah memberi sokongan kepada kegiatan yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar di Malaysia.

Katanya, ia juga merupakan tanggungjawab yang perlu dilakukan sebagai seorang selebriti.

"Sebagai selebriti ia merupakan tanggungjawab saya juga untuk membantu projek pelajar-pelajar menyiapkan tugasan mereka.

"Pada hari tersebut saya turut menjual beberapa produk Yana Super bersama peminat serta manisan tradisional buatan sendiri iaitu halwa maskat," ujarnya.

Sementara itu, Izzue Islam, 26, berkata, dia berbesar hati apabila dipilih sebagai Face of the Fest untuk karnival tersebut.

Katanya, dia sentiasa memberi galakkan kepada pelajar-pelajar untuk menceburi bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan utama mahupun sampingan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah penyanyi Tasha Mansahar dan Noorshila Amin.

Tags / Kata Kunci: Izzue Islam , Yana Samsudin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan