'SuperMokh Restaging' Lebih Kemas & Menghiburkan

Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 1:00 PM

SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 8 hingga 21 September 2014. Foto SAMUEL ONG.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Improvisasi yang dilakukan oleh pihak penerbit teater muzikal SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging yang dipentaskan buat kali kedua di Panggung Sari, Istana Budaya bermula malam Isnin ternyata tidak mengecewakan.

Masih diarahkan oleh Hans Isaac dan pengarah bersama, Harith Iskander, kisah yang mengangkat hidup legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari itu disusun dengan kemas selain teratur.

Berbanding musim pertama yang dipentaskan pada November tahun lalu, perjalanan cerita SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging lebih padat selain tidak terlalu meleret sehingga menyebabkan penonton bosan.

Pihak produksi bijak menyusun perjalanan cerita menerusi babak-babak dengan bantuan nyanyian dan tarian bagi menjadikan ia lebih menarik dan tidak membosankan.

Keserasian di antara Awie dan Maya menyerlah dalam teater muzikal tersebut.

Lagu-lagu yang dipersembahkan seperti SuperMokh, Korea Vs Malaysia, Masih Bererti dan 1986 Malaysia Cup Final cukup menghiburkan dan maksud yang cuba disampaikan mengena kepada penonton.

Ternyata Hans dan Harith nyata belum hilang taring apabila teater SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging bukan sahaja sarat dengan fakta-fakta menarik mengenai diri Mokhtar tetapi konsep muzikal yang ditonjolkan menyerlah.

Selain kisah yang tidak pernah diketahui oleh masyarakat mengenai legenda bola sepak itu semangat kesukanan turut ditonjolkan dalam teater muzikal itu.

Muzik secara langsung yang digunakan juga memberikan tambah nilai kepada persembahan yang berlangsung hampir dua jam itu.

Harith turut membuat penampilan istimewa.

SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 8 September hingga 21 September 2014.

Masih mengekalkan Awie dan Maya Karin sebagai teraju utama, teater muzikal itu turut menampilkan Rashidi Ishak, Dina Nazir, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.

Mokhtar dilahirkan pada 13 November 1953 dan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 pada usia 38 tahun. Supermokh adalah gelaran yang digunakan untuknya.

Dalam pada itu, tirai persembahan dibuka dengan montaj tentang kejayaan Mokhtar lakonan Awie dan teater muzikal yang berkisar pada tahun 1979 itu dimulakan dengan babak selepas beliau berkahwin dengan isterinya, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim lakonan Maya Karin.

Awie berjaya menjiwai watak sebagai Mokhtar.

Menariknya mengenai babak permulaan tersebut ia memaparkan sisi romantik Mokhtar yang tidak diketahui oleh para peminatnya sebelum ini.

Sebuah lagu bertajuk Do You Remember? ciptaan Michael Veerapan pada babak tersebut cukup menyentuh perasaan apabila ia menceritakan mengenai kasih sayang di antara pasangan tersebut.

Vokal Maya Karin dan Awie cukup serasi dalam lagu berkenaan dan ia memberi emosi berbeza kepada babak tersebut selain keserasian mereka di atas pentas cukup 
meyakinkan.

Seperti mana pada musim pertama, Awie berjaya menggalas watak ikon itu dengan penuh tanggungjawab selain usahanya untuk menghidupkan peranannya sebagai Mokhtar layak diberi pujian.

Penampilan Douglas Lim cukup mencuit hati dan mengundang hilai tawa penonton.

Persahabatan di antara Mokhtar dan rakan-rakannya seperti R. Arumugam, Soh Chin Aun dan Santokh Singh turut banyak ditonjolkan dalam teater muzikal tersebut sekaligus ia mengingatkan kita bahawa perbezaan kaum dan warna kulit bukan halangan untuk kita bersatu padu dan bekerjasama.

Sementara itu, watak Kenny lakonan Douglas Lim tidak mengecewakan dan menjadi penyeri kepada teater muzikal ini yang menggambarkan kegilaan seorang rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak pada ketika itu.

Douglas tanpa terlalu berusaha berjaya mencuri perhatian penonton dengan gelagat yang bersahaja dan mewujudkan hilai tawa terutamanya ketika dia mendendangkan lagu berjudul Kalau Saya Ni Football Player.

Berbanding musim yang lalu, Douglas banyak membuat penambahbaikkan terhadap wataknya itu biarpun hanya muncul sebagai watak sampingan.

Antara babak menarik dalam SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging.

SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging bukan sahaja berjaya mengangkat kisah hidup Mokhtar dengan cara cukup berbeza dan menghiburkan dan ia dapat memberi peluang kepada generasi muda mengenali figura terkenal itu dengan lebih mendalam.

Tiket untuk menyaksikan teater tersebut sudah mula dijual di www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi 03-4147 8600 atau 019-211 1600.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan