Jamal Abdillah Pastikan Anak Fokus Pelajaran

Diterbitkan: Jumaat, 29 Ogos 2014 12:58 PM

Osama mempunyai bakat besar dalam bidang nyanyian seperti mana bapanya, Jamal Abdillah. Foto Ihsan UTUSAN MALAYSIA.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah tidak akan membenarkan anak sulungnya, Osama Yamani, 13, untuk bergiat aktif dalam bidang nyanyian secara sepenuh masa buat masa ini.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 55, berkata, dia mahu Osama memberikan fokus terhadap pelajaran di sekolah dan hanya membuat persembahan jika mempunyai masa terluang. 

"Dia mempunyai bakat yang cukup besar sebagai penyanyi tetapi sebagai bapa saya mahu dia memberikan tumpuan kepada pembelajaran di sekolah kerana pendidikan itu sangat penting," katanya kepada mStar Online
 
Jamal kini sedang mengadakan persembahan di Panggung Sari, Istana Budaya menerusi Konsert Nostalgia bersama penyanyi Indonesia, Eddy Silitonga sehingga 31 Ogos ini.

Osama juga turut membuat penampilan istimewa dalam konsert berkenaan untuk berduet dengan bapanya.

Dalam pada itu, Jamal berkata, biarpun tidak menggalakkan Osama menyanyi secara sepenuh masa namun sebagai bapa dia berbangga dengan bakat dimiliki anaknya itu dan mahu melihat dia berjaya sebagai seorang penyanyi suatu hari nanti.

Jelas Jamal, bagi memastikan anaknya itu mendapat pendedahan yang betul dia menghantar Osama ke sebuah sekolah seni bagi membolehkan remaja itu mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik.

"Di sekolah berkenaan pada sebelah pagi dia akan belajar subjek akademik seperti biasa manakala pada waktu petang dia akan belajar mengenai muzik yang turut disediakan di sekolah tersebut.

"Sebagai bapa saya tidak kisah mengeluarkan sedikit modal kerana apa yang penting dia mendapat pendidikan formal sebagai persediaan untuknya pada masa hadapan," jelasnya.

Sementara itu, Jamal berkata, dia tidak mahu Osama terlalu mengikut cara nyanyiannya dan ingin melihat remaja itu mempunyai identiti sendiri sebagai penyanyi.

"Saya bersyukur dan berbangga dianugerahkan anak yang berbakat seperti Osama tetapi dia masih banyak ruang untuk dia memperbaiki diri dari segi teknik nyanyian kerana saya tidak mahu dia mengikut cara saya menyanyi.

"Tiada tekanan pun untuknya masa ini kerana dia masih muda dan sebab itu saya mahu dia tumpukan perhatian kepada pelajaran terlebih dahulu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan