Kisah Fazley Pakai Baju Cef Di Majlis Nyanyian

Diterbitkan: Sabtu, 2 Ogos 2014 12:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Fazley Yaakob mengakui pernah tersalah konsep memakai baju beruniform tukang masak sedangkan ketika itu dia dijemput untuk mengadakan persembahan nyanyian.

Fazley, 36 berkata, gara-gara terlalu banyak jemputan untuk tiga bidang berbeza iaitu masakan, nyanyian dan memberi ceramah motivasi, pada satu masa, ia membuatkan dia keliru dan terpaksa membuat persembahan dengan berbaju uniform tukang masak.

"Biasalah bila terlalu banyak jemputan untuk tiga bidang berbeza ia membuat saya keliru. Apabila dijemput untuk membuat demo masakan, saya perlu memakai uniform tukang masak, memberi motivasi pula saya perlu bergaya formal manakala menyanyi, ada baju khas yang tersendiri.

"Pernah sekali saya memakai uniform tukang masak untuk memenuhi undangan nyanyian di sebuah majlis korporat. Untuk menutup malu, saya menukar lagu asal yang ingin dibawa kepada lagu Chocolate Cake, sesuai dengan imej pada masa itu. Mujurlah penganjur ok," selorohnya kepada mStar Online.

Fazley Yaakob

Tambah Fazley insiden tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati dengan mengesahkan dahulu majlis yang ingin dituju sebelum memilih pakaian.

Malah katanya, dia turut menyediakan sekurang-kurangnya 10 pasang baju yang dimuatkan dalam kereta sebagai persediaan sekiranya kejadian lama berulang.

Sementara itu, beritahu Fazley, dia bakal menghasilkan sebuah buku masakan khas yang tertumpu kepada penjagaan kesihatan tidak lama lagi.

"Sebelum ini, saya pernah mencuba sendiri dengan memotong pengambilan gula dan pada masa sama memakan dengan cara yang betul dan lebih sihat tanpa berlapar.

"Alhamdulillah, ia menjadi dan saya berjaya menurunkan berat badan sehingga 30 kilogram (kg) dalam masa sebulan di mana kini saya sudah mendapat berat seperti sebelum saya berkahwin iaitu 72 kg.

"Memandangkan ramai yang bertanya, jadi saya mahu berkongsi cara pengambilan makanan saya menerusi sebuah buku resipi khas. InsyaAllah ia akan diterbitkan tidak lama lagi," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Fazley Yaakob

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan