Bebas Penyakit, Hamid Gurkha Jaga Makan Sejak 40 Tahun

Diterbitkan: Khamis, 24 Julai 2014 12:30 AM

Pak Hamid memberitahu berkat menjaga pemakanan dia tidak mempunyai sebarang penyakit.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Hamid Gurkha mendedahkan dia mula menjaga pemakanan sehariannya sejak berusia 40 tahun lalu sebagai salah satu usaha untuk mengelak daripada terkena penyakit-penyakit berbahaya.

Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman, 81, berkata, berkat amalannya itu sehingga kini dia tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan bersyukur diberi kesihatan baik oleh Tuhan.

"Sejak 40 tahun lalu saya tidak mengambil makanan laut dan jarang makan ayam dan daging. Jika ada pun pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti menghadiri kenduri dan Hari Raya.

"Minuman bergas dan berais juga saya elakkan. Saya berpantang dalam pemakanan kerana ingin mengelak daripada terkena penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

"Alhamdulillah pada usia kini saya bebas daripada sebarang penyakit tetapi biasalah orang tua kadang-kadang sakit sendi dan pening," katanya kepada mStar Online.

Pak Hamid masih memandu pada usianya yang kini mencecah 81 tahun. 

Hamid ditemui pada majlis berbuka puasa Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) di Dataran Karyawan Finas dekat sini pada malam Selasa lalu.

Tambah Hamid atau lebih mesra dengan sapaan Pak Hamid, dia lebih gemar menikmati makanan berasaskan ikan selain sup dan sayur-sayuran termasuk mengamalkan meminum air suam sebagai diet hariannya.

Dalam pada itu, Pak Hamid turut memberitahu, pada usianya sekarang dia masih mampu memandu kereta untuk ke mana-mana termasuklah ke lokasi penggambaran drama atau filem tanpa bantuan sesiapa.

Jelas Pak Hamid, dia pernah memandu ke Perak dan Kedah seorang diri untuk ke lokasi penggambaran kerana enggan menyusahkan sesiapa termasuk anak-anaknya. 

"Alhamdulillah masih boleh memandu dan mata pun tiada masalah jika terpaksa bawa kereta pada waktu malam, senang tidak payah menyusahkan sesiapa untuk ke mana-mana.

"Memandu juga sebagai salah satu cara untuk kita kekal aktif dan sentiasa bergerak," jelasnya.

Pak Hamid masih menerima banyak tawaran berlakon.

Sementara itu, Pak Hamid berkata, dia bersyukur pada usianya sekarang masih ada pengarah dan penerbit yang mempercayai bakat lakonannya dan terus menawarkannya peranan dalam drama atau filem terbitan mereka.

Jelas Pak Hamid, menerusi duit lakonan yang diperolehinya ia dapat digunakan untuk membeli ubat atau pun digunakan pada waktu-waktu kecemasan.

"Selagi kudrat terdaya saya akan terus berlakon seperti biasa dan Alhamdulillah tawaran itu sentiasa ada," katanya.

Pak Hamid pernah terkenal dengan filem Sikit Punya Gila pada tahun 1982 gandingan bersama Dharma Harun Al-Rashid dan Ragam Pemandu (1989) bersama Aznah Hamid.

Pada sekitar tahun 1970-an juga, dia pernah menerbitkan album sketsa lawak jenaka bersama rakan duetnya, Datuk Jamali Shadat dan menghasilkan beberapa buah album seperti Manaku Tada Mengaku, Dodol dan Ujian Memandu.

Tags / Kata Kunci: Hamid Gurkha , Sikit Punya Gila.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan