Tropfest SEA 2015 Bakal Iktiraf Karya Filem Pendek - Berita Hiburan | mStar

Tropfest SEA 2015 Bakal Iktiraf Karya Filem Pendek

Diterbitkan: Ahad, 20 Julai 2014 12:30 AM

Joe Sidek.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penganjuran anugerah Tropfest South East Asia 2015 dilihat sebagai medium terbaik dalam mencungkil bakat menerusi pembikinan filem pendek oleh generasi baharu.

Pengarah urusan Tropfest SEA 2015, Joe Sidek berkata, menerusi penyertaan tahun lalu yang memberangsangkan pihaknya yakin program ini akan terus mendapat sambutan ramai memandangkan banyak lagi aktiviti sampingan turut diadakan.

"Penglibatan ramai bakatr baru yang ada dirantau ini akan menggalakkan pembangunan penerbitan filem berskala penuh pada masa hadapan.

"Tahun lalu sahaja 12 filem terpilih ke peringkat akhir daripada 180 filem pendek dari sembilan negara Asia Tenggara dan ia menunjukkan kemajuan yang baik," katanya.

Mengetengahkan karya lebih ramai pembikin filem sedia ada dan sedang meningkat naik di rantau ini, program ini dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2015, di Pulau Pinang.

Penyertaan filem pendek Tropfest SEA 2015 kini telah pun dibuka bermula 1 Julai sehingga 30 September tahun ini.

Tropfest SEA disokong oleh Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (Finas) dan Malaysia Major Events (MME), sebahagian daripada Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Tropfest ditubuhkan 22 tahun lalu di Sydney, Australia sebagai cara untuk menggalakkan penerbitan dan tayangan filem pendek, memupuk penyampaian cerita kreatif, dan memberi peluang kepada pembikin filem berbakat untuk berkongsi kisah mereka dengan penonton secara langsung.
Tags / Kata Kunci: Trofest SEA 2015.
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan