Artis Tiga Negara Terlibat Alih Suara Filem 'Despicable Me 2'

Diterbitkan: Jumaat, 11 Julai 2014 12:43 PM

Lisa Surihani, Puteri Balqis dan Harith Iskander ketika hadir ke majlis pelancaran filem Despicable Me 2 di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada Khamis.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali saluran HBO menggabungkan suara selebriti daripada tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei untuk versi Bahasa Malaysia filem Despicable Me 2 bagi tayangan bersempena Hari Raya Aidilfitri penghujung bulan ini.

Ketua Jualan dan Pemasaran HBO Asia, Jacelyn Kek berkata, gabungan suara selebriti dalam filem tersebut dilakukan bagi memberikan kelainan kepada penonton terhadap karya popular tersebut.

"Pihak kami bangga kerana mendapat kerjasama daripada semua selebriti yang terlibat dan gabungan ketiga-tiga negara ini akan diteruskan pada masa hadapan.

"Walaupun HBO adalah sebuah saluran antarabangsa namun kami tetap berpegang kepada kepentingan dalam menerbitkan kandungan program bersifat tempatan agar menjadi suatu keseronokan kepada penonton terutama pada musim perayaan," katanya kepada mStar Online.

Jacelyn ditemui pada majlis sidang media pengumuman barisan pelakon Despicable Me 2 di Hotel Le Meridien dekat sini pada Khamis.

Despicable Me 2 akan menemui penonton saluran HBO pada Hari Raya pertama.

Despicable Me 2
versi Bahasa Melayu akan disiarkan pada 28 Julai ini pada pukul 9 malam di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) dengan pilihan audio Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Filem itu menampilkan Harith Iskander sebagai Gru, Lisa Surihani (Lucy Wilde), Hafizuddin Fadzil (El Mancho & Eduardo), Puteri Balqis (Agnes), Hisyam Hamid (Floyd), Hanis Zalikha (Jilian), Datuk Fazley Yaacob (Dr.Nefario), Nelydia Senrose (Margo) dan DJ Raffy.

Sementara itu, Harith ketika ditemui berkata, pengalaman pertama kali terlibat dalam alih suara filem membuatkan pelawaan diberikan oleh pihak HBO Asia dan Astro tidak dilepaskan begitu sahaja.

Mengakui hanya mengambil masa tiga hari untuk merakamkan suara bagi watak Gru, Harith memberitahu dia turut menonton versi asal karya itu beberapa kali bagi memahami karektor dengan baik.

"Sebelum ini saya pernah melakukan alih suara untuk program televisyen dan Despicable Me 2 adalah filem pertama yang saya lakukan dan ia amat menyeronokkan.

Harith Iskander.

"Saya tidak ambil masa lama untuk merakamkan bahagian saya cuma tiga hari sahaja," katanya.

Pun begitu kata Harith, dia perlu memastikan dialog dan terjemahan yang disampaikan sesuai dengan Bahasa Malaysia supaya tidak terikut-ikut dengan versi asal.

Manakala bagi pelakon Nelydia Senrose, dia mengakui gementar apabila pertama kali berada di studio untuk merakamkan suaranya bagi watak Margo yang dipegangnya. 

"Ia nampak mudah tetapi sebenarnya tidak kerana intonasi dan cara melontarkan suara perlu dilakukan secara berbeza bagi mewujudkan karektor yang dibawa.

"Alhamdulillah biarpun gementar tetapi tunjuk ajar daripada pengarah memudahkan proses berkenaan," katanya. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan