Jimmy Shanley Nafi Bermasalah di Ultra FM

Diterbitkan: Selasa, 8 Julai 2014 3:00 AM

Jimmy Shanley

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyampai radio Ultra FM, Jimmy Shanley, menyifatkan tuduhan kononnya dia tidak memberikan komitmen terhadap kerjanya sehingga menyusahkan rakan setugas lain adalah gosip semata-mata.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, berkata, dia juga terkejut apabila dikatakan bakal menamatkan tugasnya di stesen radio berkenaan sedangkan dia tetap melaksanakan tugasnya.

"Sebenarnya saya kini berada di Korea dan tidak tahu menahu pun tentang gosip itu sehinggalah Pengurus Saluran Ultra FM, Mira Sakhia Shamsuddin menghubungi saya.

"Dia meminta saya tidak perlu mengambil serius dengan berita tersebut. Itu semua gosip. Semalam (Ahad) saya ke udara seperti biasa tanpa masalah, sebelum bertolak ke Korea," katanya kepada mStar Online, menerusi aplikasi Whatsapp.

Foto yang diberikan Jimmy menerusi Whatsapp yang kini berada di Korea.

Jimmy mengendalikan segmen segmen Ultra 6-10 yang ke udara setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi bersama pasangannya Mamat (Sepah) di stesen radio berkenaan.

Pada Ahad lalu, sebuah akhbar minguan menerusi ruangan pojok melaporkan komitmen kerja Jimmy sebagai penyampai radio Ultra FM sejak kebelakangan ini semakin kurang memberangsangkan sehingga pasangan penyampai yang bertugas bersamanya berang kerana terpaksa melakukan kerja sendirian.


Dalam pada itu, Jimmy juga dikatakan bakal menamatkan tugasnya itu dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, ditanya adakah dia sedang bercuti bersama isterinya, Mariam Jamilah Abdul Jalil, 27 yang baru dikahwini pada 7 Jun lalu di Korea, dia enggan mengulas tentang perkara itu.

"Saya baru sampai (Korea) pagi tadi dan terus ke kelas. Sebab apa ke sini? Nanti-nanti saya ceritakan," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Jimmy Shanley , Ultra FM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan