Mas Khan Kekasih Baharu Lana Nodin

Diterbitkan: Selasa, 24 Jun 2014 3:03 AM

Lana Nordin kiri bersama kekasih baharunya, Mas Khan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Setelah kontroversi putus cinta dengan pelakon Johan As'ari berakhir, pelakon Lana Nodin, pada Isnin memperkenalkan teman istimewanya iaitu pelakon baharu Mas Khan.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin, 34, berkata, dia dan pemuda yang berusia 20-an itu masih diperingkat mengenali hati budi masing-masing.

"Saya dengan dia masih baru lagi dalam kira-kira sebulan, tetapi kami kenal agak lama juga. Buat masa ini kami masih lagi mengenali hati budi masing-masing.

"Saya tidak mahu bercakap tentang cinta lebih-lebih kerana semuanya ketentuan Allah dan sebagai perempuan saya hanya cuba berkawan dan mencari jodoh saya," ujarnya kepada mStar Online.

Lana ditemui pada Majlis Pelancaran Produk Kosmetik Airish Fashion Cosmetik di Hotel The Royal Chulan, di sini, Isnin.

Jelas Lana, dia tidak mahu kontroversi percintaannya dengan pelakon Johan As'ari membataskan dirinya untuk terus mencari jodoh.

"Saya tidak mahu fikir tentang lelaki itu dan saya tidak mahu kontroversi tersebut menyekat saya untuk berkawan dengan lelaki.

"Saya tetap mencuba dan berkawan dengan mana-mana lelaki serta cari yang sesuai dijadikan suami, kalau Tuhan sudah takdirkan saya berkahwin usia 40 saya terima," katanya.

Mudah-mudahan cinta kedua-dua pasangan ini akan berkekalan.

Sementara itu, bercerita tentang Mas Khan, Lana berkata, dia seorang yang matang dan memahami biarpun jarak usia mereka agak jauh.

Bagaimanapun, peristiwa percintaan lalu banyak mengajarnya agar lebih berhati-hari dan tidak mudah mempercayai lelaki.

"Dia muda lagi tapi dia seorang yang matang dan tidak suka ambil tahu tentang orang lain. Dia tidak kisah tentang kontroversi saya sebelum ini.

"Tetapi saya juga perlu berhati-hati sebab dahulu pun begini juga, saya percaya kalau tidak baik untuk saya, Allah akan tunjukannya," kata Lana.

Lana mengakui antara punca dia rapat dengan lelaki itu juga adalah disebabkan mereka bergandingan dalam sebuah filem berjudul Biasan.

Katanya, filem tersebut masih lagi dalam penggambaran sehingga akhir Ramadan ini.

Sementara Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzhir Khan mengakui Lana seorang wanita yang penyayang dan lemah lembut.

"Pada mulanya saya nampak dia seorang yang garang dan sombong tetapi bila sudah rapat barulah saya tahu dia seorang yang lembut.

"Dia sangat baik dan ambil berat tentang saya, dia banyak mengajar saya tentang lakonan dan berhadapan dengan masyarakat serta media," ujarnya.
Tags / Kata Kunci: Lana Nordin , Mas Khan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan