Shamsul Ghau Ghau Jadi Deejay KLFM

Diterbitkan: Sabtu, 7 Jun 2014 12:01 AM

Shamsul kini bergelar deejay KLFM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Shamsul Ghau Ghau akan melebarkan karier seninya dalam bidang penyiaran selepas mendapat tawaran bertugas sebagai penyampai radio (deejay) stesen KLFM.

Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Shamsul Azahar Aliddin, 46, berkata, dia belum menandatangani sebarang kontrak lagi namun sudah menjalani latihan pengendalian radio sejak minggu lalu selama sebulan.

"Selepas ditawarkan menjadi deejay KLFM, saya rasa ini adalah rezeki buat keluarga. Ye lah, sampai bila kita nak sibuk dengan penggambaran pagi hingga malam sampaikan kita tidak sempat meluangkan masa bersama keluarga.

"Memandangkan saya tidak berpengalaman menjadi deejay, maka saya diberi tempoh percubaan selama sebulan. Alhamdulillah, saya semakin serasi dengan dunia penyiaran radio.

"Mungkin ada yang bertanya kenapa tidak ke arah radio-radio yang lebih popular? Saya rasa jika kita ada peminat, mereka akan mengikuti kita di mana-mana sahaja tidak kira sama ada radio tersebut popular atau tidak," katanya kepada mStar Online.

Shamsul Ghau Ghau


Bagaimanapun tambah Shamsul, dia masih lagi mengambil tawaran berlakon seperti biasa, sekiranya jadual penggambaran tidak bertindih dengan masa kerja di radio.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, sepanjang 20 tahun terlibat dalam dunia seni sudah tiba masanya untuk dia mengutamakan keluarga memandangkan sebelum ini dia sering terlepas melihat perkembangan anak-anaknya iaitu Megat Ummar Azhar, 9, Puteri Qaseh Batrysha, 4, dan Megat Ammar Azahar yang berusia sembilan bulan.

"Pernah sekali saya sibuk dengan penggambaran selama sebulan dan apabila pulang ke rumah, saya lihat anak saya sudah boleh merangkak. Saya terlepas melihat mereka membesar kerana kesibukan kerja. Ia membuatkan saya ralat seketika.

"Sebab itu kali ini, apabila mempunyai kerja tetap, selain mendapat gaji bulanan hasil menjadi duta produk kesihatan Walid Gold yang sudah masuk tahun ketiga, saya mahu melihat anak-anak membesar di depan mata saya sendiri," ujarnya yang sudahpun mengerjakan haji.
Tags / Kata Kunci: Shamsul Ghau Ghau , KLFM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan