Impian Jamal Abdillah Berduet Dengan Eddy Silintoga Tercapai

Diterbitkan: Rabu, 28 Mei 2014 12:04 AM

tdr

Jamal Abdillah bakal mengadakan konsert Konsert Nostalgia Dato Jamal Abdillah.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah menyifatkan persetujuan penyanyi lagenda Indonesia Eddy Silintoga untuk  mengadakan persembahan sebagai penyanyi jemputan pada Konsert Nostalgia Dato Jamal Abdillah adalah satu penghargaan besar buatnya.

Konsert itu akan diadakan bermula 28 hingga 31 Ogos depan di Istana Budaya.

Jamal berkata, Eddy merupakan penyanyi idolanya sejak berusia 17 tahun dan mengadakan persembahan dengannya ibarat seperti impian lama yang tercapai.

"Ketika bertemu dengannya (Eddy), menggigil-gigil tangan saya dibuatnya. Dia adalah idola saya sejak kecil dan membawanya bersama dalam konsert saya adalah satu penghargaan besar.

"Kami akan berduet bersama menerusi satu segmen menyanyikan lagu-lagu lama 60-an. Tidak sabar rasanya mahu bekerjasama dengan penyanyi itu," katanya.

Jamal ditemui pada majlis pelancaran Konsert Nostalgia Dato Jamal Abdillah di Istana Budaya pada Selasa. Penyanyi Indonesia yang popular dengan lagu Bunga Tanjung, Lancang Kuning dan Oh Melati itu turut hadir pada majlis tersebut.

Jamal Abdillah bersama Eddy Silintoga pada majlis pelancaran Konsert Nostalgia Dato Jamal Abdillah.

Menurut Jamal,  konsert yang dianjurkan oleh Binjamal Event Sdn Bhd itu akan berlangsung selama dua jam dengan pembahagian sebanyak empat segmen.

Bagi segmen pertama, Jamal bakal mempersembahkan sebanyak lapan buah lagu popularnya. Segmen kedua pula menampilkan Eddy yang membawakan sebanyak lima buah lagu.

Pada segmen ketiga, Jamal dan Eddy akan berduet bersama menyanyikan lagu-lagu patriotik bersempena dengan hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini. Manakala segmen keempat pula, Jamal akan mendendangkan beberapa lagu yang jarang didengar oleh peminatnta.

"Secara keseluruhan, sebanyak 20 buab lagu yang bakal dibawakan dengan iringan 12 orang pemuzik profesional dan 10 pemuzik muda.

"Konsert tersebut turut mendapat kerjasama Istana Budaya, Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia dan Visit Malaysia 2014," ujarnya.

Harga tiket RM 458, RM358, RM258, RM108 dan RM58 boleh ditempah menerusi laman web www.tiket2u.biz atau hubungi talian Box Office iaitu 03-21618134.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan