Peminat Marah Hafiz Suip Dedah Kekasih

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mei 2014 12:03 AM

hafiz suip & kekasih

Sama padan... inilah kekasih Hafiz Suip yang dikenali sebagai Fy.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip terkejut apabila beberapa peminatnya melahirkan kemarahan selepas mendapat tahu dia sudah berpunya apabila foto kekasihnya di keluarkan di laman Instagram minggu lalu.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, dia tidak menyangka peminatnya akan memberikan respons sedemikian tetapi berasa lega kerana tidak lagi perlu menyembunyikan rahsia perihal pasangan cintanya yang dikenali sebagai Fy itu.

"Ini merupakan kali pertama saya memuat naik foto kekasih di Instagram sekadar mahu memberitahu yang kini saya sudah berpunya.

"Tidak sangka pula apabila ada beberapa peminat yang meluahkan rasa kecewa kerana foto itu. Bagaimanapun, saya percaya mereka akan faham. Takkanlah saya tidak boleh ada kekasih semata-mata ingin menjaga hati orang," selorohnya.

Hafiz ditemui pada majlis pelancaran showcase Hafiz & Friends di Hard Rock Cafe di sini pada Khamis.

Minggu lalu, teka-teki mengenai siapakah kekasih Hafiz terjawab dia  berkongsi fotonya bersama wanita itu dengan kapsyen ‘happy birthday to my love’ bagi mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran wanita berkenaan.

hafiz suip
Hafiz (kiri) dan Akim Ahmad akan terlibat dalam persembahan di Hard Rock Cafe, Melaka pada 22 Jun depan. Turut sama penyanyi Hazama.
Dalam pada itu Hafiz berkata, tujuan dia mendedahkan foto tersebut kerana merasakan sudah tiba masanya untuk dia berkongsi rasa bahagia perhubungan cintanya yang sudah terjalin selama lima bulan itu.

"Dulu saya terfikir, jika mendedahkan hal percintaan saya, mungkin ia akan menggugat karier dan peminat tidak akan suka saya lagi.

"Tetapi bila fikir balik, buat apa perlu sorok benda baik. Tetapi saya tidak akan memberitahu secara terperinci mengenai Fy.

"Apa yang saya boleh katakan, Fy merupakan pelajar jurusan akaun di sebuah institusi pengajian tinggi. Dia juga merupakan saudara jauh saya," ujarnya.

Sementara itu, mengenai showcase Hafiz & Friends, penyanyi Hazama dan Akim Ahmad turut terlibat menjayakan persembahan tersebut yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe Melaka pada 22 Jun depan.

"Kalau nak tahu, membuat persembahan di Hard Rock Cafe merupakan impian kami kerana ia sebuah kafe yang popular berkaitan persembahan-persembahan muzik selain memiliki sistem bunyi yang bagus.

"Secara keseluruhan, sebanyak 12 lagu yang akan dipersembahankan. Tidak sabar pula saya mahu bertemu dengan peminat," ujarnya.

Tiket persembahan berharga RM60 dan RM70 boleh dibeli dengan menghubungi 06-2925188 atau enquiries@hardrockcafe-melaka.com 

 

 

Tags / Kata Kunci: Hafiz Suip , Hard Rock Cafe

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan