Suami Tetap Bawa Ruminah Sidek Ke Ladang Biarpun Diserbu Peminat

Diterbitkan: Ahad, 18 Mei 2014 12:28 AM

Ruminah Sidek akan mengikut suaminya Al Fatah untuk menetap di Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan.

(Ubah saiz teks)

KLANG: Suami kepada pelakon veteran Ruminah Sidek, 68, iaitu Al Fatah Rahim Ismail akan meneruskan janji untuk membawa isterinya itu meninjau di seluruh kampung dan ladang getahnya sebagai aktiviti pertama mereka selepas bergelar suami-isteri.

Al Fatah, 70, berkata, sebelum ini dia pernah cuba membawa wanita itu untuk ke ladang getah miliknya, namun tidak berjaya apabila pelakon itu diserbu peminat-peminat.

"Saya tetap akan bawa dia jalan-jalan dan melihat ladang getah yang kini menunggu masa untuk dituai sahaja.

"Dulu saya pernah cuba untuk bawa dia bersiar-siar di kampung dan ke ladang tetapi malangnya aktiviti itu gagal selepas dia diserbu oleh orang kampung yang ingin melihatnya secara dekat," katanya.

Ruminah dan peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, terdahulu selamat diijabkabulkan dalam majlis sederhana yang diadakan di kediaman abang ipar pelakon itu di Pekan Meru, di sini, pada Sabtu.

Pada majlis tersebut, Ruminah menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki.

Ruminah dan suami merancang untuk menunaikan umrah buat kali kedua.

Sementara itu, ditanya tentang perancangan kerjaya Ruminah selepas bergelar isteri, Al Fatah berkata, dia tidak pernah menghalang isterinya sama ada untuk meneruskan kerjaya lakonan atau tidak.

"Saya tiada halangan kalau dia ingin teruskan kerjaya dia sebagai pelakon, tapi saya tidak mahu ikut dia ke lokasi penggambaran kerana itu bukan dunia saya.

"Dalam majlis kahwin ini sahaja saya sudah terkejut kerana terlalu ramai orang dan media datang untuk temuramah," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang lokasi berbulan madu pula, Al Fatah berkata, kedua-dua mereka merancang untuk kembali menunaikan ibadah umrah bersama-sama jika mempunyai kelapangan.

Katanya, lokasi tersebut sangat istimewa yang mana merupakan tempat pertemuan pertamanya dengan Ruminah ketika sama-sama mengerjakan ibadah.

"Kami tidak rancang untuk pergi mana-mana, tetapi kalau boleh memang hasrat kami untuk menunaikan umrah sekali lagi dan kali ini sebagai pasangan suami isteri pula," ujarnya.

Sementara itu, Ruminah yang lebih banyak berdiam bagi memberi peluang kepada suaminya untuk menjawab soalan media turut mengakui akan berpindah  mengikut suaminya menetap di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun dia akan mempertimbangkan tawaran lakonan yang datang kerana mengutamakan kepentingan keluarga terlebih dahulu.

"Saya akan pindah ikut suami, tentang berlakon pula kalau dia beri saya akan teruskan tetapi keutamaan sudah tentu kepada keluarga terlebih dahulu," ujarnya.

Dalam pada itu, majlis persandingan pihak lelaki akan berlangsung pada 14 Jun depan  di Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan.

Perkahwinan ini merupakan perkahwinan keempat buat Ruminah termasuklah dengan Allahyarham AR Tompel.

Hasil perkahwinan lalu, Ruminah dikurniakan enam orang anak termasuklah pelakon Adlin Aman Ramlie, 20 cucu dan enam cicit.

Manakala, perkahwinan ketiga buat Al Fatah yang kini mempunyai 10 orang anak dan 30 orang cucu.

Tags / Kata Kunci: Ruminah Sidek

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan