Rumah Hantu Atas Treler Strategi 'Suatu Malam Kubur Berasap 2'

Diterbitkan: Sabtu, 17 Mei 2014 12:18 AM

Barisan pelakon Suatu Malam Kubur Berasap 2.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 iaitu Ernie Chen melakukan kelainan dalam mempromosikan filem itu dengan mencipta rumah hantu bergerak di atas sebuah treler.

Ernie berkata, ia bagi memberi peluang kepada peminat filem itu merasai debaran sebelum menyaksikan tayangan filem berkenaan  pada 12 Jun depan.

"Ini adalah cara kami memberikan kelainan kepada peminat filem ini dan promosi luar biasa ini akan memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman memasuki rumah hantu di dalam kontena yang diletakkan di atas treler sepanjang 40 kaki,” katanya kepada mStar Online.

Ernie Chen
Tambah Ernie, pihaknya melakukan siri penjelajahan selama 13 hari bermula 15 Mei lalu bersama kenderaan berkenaan bagi mendekati peminat dalam usaha mempromosikan filem berkenaan.

Malah katanya, peminat boleh memasuki rumah hantu itu dengan percuma untuk merasai suasana seram sebelum meneruskan hasrat menonton filem tersebut.

"Rasanya belum pernah mana-mana syarikat filem membuat promosi sebegini dan kami amat teruja untuk membawa treler berkenaan bertemu peminat," katanya.

Filem berkenaan yang merupakan komedi seram menampilkan barisan pelakon seperti Azad Jazmin, Rahim Sepahtu, Shahrol dan Ajak daripada kumpulan Shiro.

Suatu Malam Kubur Berasap 2  yang menjalani penggambaran selama 16 hari di Sabak Bernam, Selangor pada Oktober tahun lalu menelan kos sebanyak RM1 juta.

rumah hantu
Beginiah treler yang diubahsuai menjadi rumah hantu bergerak bagi mempromosikan filem Satu Malam Kubur Berasap 2.

Dalam pada itu Ernie berkata, sebagai seorang pembikin filem dia perlu bersikap terbuka terhadap pujian ataupun kritikan untuk memperbaiki karyanya itu.

"Mungkin sesetengah orang tidak boleh terima kritikan kerana bimbang akan memberi kesan buruk terhadap filem ketika ia ditayangkan tetapi sebenarnya mampu membuatkan orang seperti saya (pembikin filem) melihat kesilapan dan mengenal pasti kehendak penonton dan memperbaikinya," ujar Ernie.

Dalam pada itu, Ernie berkata, Suatu Malam Kubur Berasap 2 bukan sambungan daripada filem terdahulu sebaliknya menampilkan jalan cerita dan pelakon berbeza.

Jelas Ernie, dia bimbang sekiranya penonton berasa bosan jika dia memperkenalkan filem sekual dan mengekalkan pelakon lama.

"Saya kekalkan nama filem itu kerana ingin menjadikannya sebagai sebuah produk dikenali masyarakat tetapi pengisian dan barisan pelakon dalam filem itu bukan daripada filem pertama judul berkenaan," jelasnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan