Minggu Setiausaha Anuar Zain Ditunda Kerana Tragedi MH370

Diterbitkan: Selasa, 25 Mac 2014 4:48 PM

anuar zain

Anuar Zain

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain mengambil keputusan menunda persembahannya sempena Minggu Setiausaha iaitu 'Terindah... Anuar Zain' yang dijadualkan pada 8 April kepada 29 April depan kerana tragedi MH370.

Anuar, 44, berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati nasib yang menimpa 239 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang sahkan berakhir di selatan Lautan Hindi pada malam Isnin. 

"Ini adalah keputusan paling tepat yang saya lakukan bagi menghormati semua mangsa dan ahli keluarga mereka atas kejadian yang menyayat hati ini. 

"Bagaimanapun ia bukan dibatalkan sebaliknya hanya ditunda pada tarikh baharu iaitu 29 April depan," katanya kepada mStar Online

Anuar ditemui pada sidang media pengumuman penundaan itu di Zebra Square di sini, Selasa. 

Dalam kejadian 8 mac lepas, Pesawat MAS yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  ke Beijing hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas sehinggalah ia disahkan berakhir di Lautan Hindi dalam pengumuman tergempar yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada malam Isnin.

anuar zain 2

Dalam pada itu persembahan Minggu Setiausaha 'Terindah... Anuar Zain'  akan diteruskan di Hotel One World Petaling Jaya dekat sini pada pukul 12 tengah hari pada tarikh baharu itu.

Anuar berkata, tiket persembahan bagi menyaksikan acara itu terjual hampir 70 peratus dan semua pemegang tiket telah dimaklumkan mengenai penundaan itu. 

Dia juga yakin semua peminatnya memahami dengan keputusan itu kerana ia bukan masa sesuai untuk mengadakan persembahan tersebut ketika seluruh rakyat Malaysia bersedih dengan tragedi menimpa.

"Perasaan saya ketika ini tidak membenarkan untuk saya meneruskan persembahan  dan saya yakin semua peminat yang sudah pun membeli tiket memahami keputusan ini," katanya yang juga bekas pramugara syarikat penerbangan berkenaan.

Tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan Anuar Zain mula dijual pada 7 Februari lalu menerusi www.tiketcharge.com.my manakala tiket untuk VIP boleh diperoleh terus dengan menghubungi Anuar Zain Network di talian 019-3177476 atau 012-4642030.

Maklumat lanjut mengenai penundaan persembahan itu, boleh diikuti menerusi www.facebook.com/anuarzainnetwork.

Tags / Kata Kunci: Anuar Zain , MH370 , Minggu Setiausaha

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan