Marissa Yasmin Tidak Mengeluh Diberi Watak Ibu Pada Usia Muda

Diterbitkan: Selasa, 25 Mac 2014 1:57 PM

marissa yasmin 1

Marissa pernah membintangi lebih 100 buah drama sepanjang kariernya sebagai pelakon. Foto Ihsan TV3.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:  Dramatis Marissa Yasmin tidak berkecil hati kerana sering diberikan watak sebagai seorang ibu dalam drama lakonannya biarpun dia kelihatan masih muda untuk memegang peranan sedemikian.

Marissa, 37, berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan perkara itu malah melihat ia sebagai satu kelebihan buatnya yang mungkin tiada pada aktres lain.

"Saya sendiri tidak ingat berapa banyak drama lakonan yang saya pegang watak sebagai seorang ibu namun ia bukanlah satu masalah kerana itu adalah rezeki saya.

"Saya juga selesa memegang peranan itu kerana ia mungkin kelebihan yang pihak produksi lihat dalam diri saya biarpun ada mengatakan saya nampak terlalu muda untuk membawa watak berkenaan," katanya kepada mStar Online.

Marissa ditemui pada sidang media pelancaran drama bersiri Aku Isterinya di Sri Pentas di sini pada Isnin lalu.

Drama arahan Fairuz Loy itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Anzalna Nasir, Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Noniswara dan Zaidi Omar.

Ia bakal disiarkan menerusi slot Akasia bermula 31 Mac ini setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam di TV3.

Marissa bakal muncul dalam drama bersiri terbaharu iaitu 'Aku Isterinya yang akan mula bersiaran pada 31 Mac ini di TV3.'

Dalam perkembangan sama, Marissa berkata, dia tidak mengamalkan sebarang petua tertentu untuk kelihatan muda namun dia memastikan melakukan senaman tiga kali seminggu untuk kekal sihat selain mendapat rehat yang cukup.

"Alhamdulillah, biarpun usia sudah hampir menjangkau 40 tahun tetapi ada juga yang tidak percaya apabila saya memberitahu umur saya sekarang  37 tahun. 

"Tiada sebarang petua tertentu cuma mengamalkan senaman dan rehat yang cukup untuk kekal segar dan bertenaga," ujarnya.

Sementara itu, Marissa yang pernah membintangi lebih 100 buah drama sepanjang kariernya bagaimanapun berkata, sekiranya diberi peluang dia mengimpikan untuk melakonkan peranan wanita desa pada masa hadapan.

"Saya teringin untuk memegang watak sebagai wanita kampung kerana pada pandangan saya ia mencabar dan berharap akan diberi peluang memegang peranan itu suatu hari nanti," katanya yang bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Hanya Dengan Bismillah 2 pada April ini.

Tags / Kata Kunci: Marissa Yasmin , Aku Isterinya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan