Hasnol Lebih Matang Selepas 20 Tahun Menyepi

Diterbitkan: Rabu, 19 Mac 2014 9:34 PM

Hasnol yakin kemunculan semulanya sebagai penyanyi selepas 20 tahun menyepi dapat diterima baik oleh peminat.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyanyi popular sekitar awal tahun 90-an, Hasnol tidak menganggap keputusannya untuk kembali menyanyi selepas 20 tahun menghilangkan diri sebagai terlambat sebaliknya memberitahu dia kini lebih matang dalam pelbagai sudut.

Hasnol atau nama sebenarnya, Hasnol Hassan Ariff, 44, berkata, dia juga yakin masih ada ruang buatnya melonjakkan kembali namanya meskipun terpaksa bersaing dengan artis baharu.

"Syukur Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk kembali sebagai penyanyi pada tahun ini dan berbanding 20 tahun dahulu saya kini lebih matang dan kuat.

"Ini adalah masa paling sesuai saya kembali sebagai penyanyi dan soal terlambat atau persaingan tidak timbul kerana Insya-Allah jika kita yakin dan berusaha dengan perancangan yang betul semuanya akan dipermudahkan," katanya kepada mStar Online.

Hasnol ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Tinggallah dan Kasih Abah di Oasis Square di sini, Rabu.

Tambah Hasnol, populariti lagu Laguku Untukmu yang masih diminati sehingga ke hari ini turut memberi laluan mudah untuknya kembali sebagai penyanyi.

"Alhamdulillah saya masih diingati sehingga ke hari ini kerana lagu tersebut dan ia sedikit sebanyak membantu saya untuk kembali memperkenalkan diri dalam industri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Hasnol mendedahkan bukan mudah baginya apabila mengambil keputusan meninggalkan bidang nyanyian dan dia mengakui pernah memberontak untuk kembali sebagai anak seni sekitar tahun 2001.

Populariti Laguku Untukmu yang kekal sehingga ke hari ini turut memberi laluan mudah kepada Hasnol untuk kembali sebagai penyanyi.

Bagaimanapun kata Hasnol, perasaan itu terpaksa dipendamnya kerana komitmennya terhadap kerjaya selain ingin memberi fokus kepada keluarga ketika itu.

"Rindu terhadap bidang nyanyian sentiasa menebal dalam diri saya sehingga pada satu tahap saya memberontak untuk kembali menyanyi.

"Namun tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak serta komitmen pada kerjaya tetap ketika itu saya tahan sehingga ke hari ini," jelasnya.

Pun begitu Hasnol memberitahu tidak pernah menyesal dengan keputusan dibuat ketika namanya berada di puncak kerana menyifatkan dirinya rapuh ketika itu.

"Saya begitu muda apabila populariti melonjak naik dan sebagai orang baharu ketika itu ada kesilapan yang saya lakukan dan faktor-faktor lain yang menjurus kepada keputusan saya pada masa itu.

"Namun saya tidak menyesal kerana ia adalah keputusan yang saya buat sendiri dan ia telah mematangkan saya sebagai seorang individu," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai single terbaharunya, Tinggallah ciptaan Along (Exists) dan lirik ditulisnya sendiri itu mengekalkan irama pop namun mengikut citarasa pendengar pada masa ini.

"Sebenarnya lagu itu telah siap pada tahun 2008 namun ketika itu saya masih belum bersedia untuk melancarkannya dan ia dirakamkan semula supaya lebih segar mengikut peredaran masa.

Hasnol pertaruh dua single terbaharu berjudul Tinggallah dan Kasih Abah.

"Selepas mengadakan promosi single berkenaan baharulah saya akan lancarkan pula single kedua berjudul Kasih Abah yang saya sifatkan cukup istimewa," katanya.

Hasnol turut memberitahu dia turut bercadang untuk melancarkan album mininya dalam masa terdekat ini.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Urusan MH & Firas Event Sdn Bhd, Dr. Mohd Hushni Mohd Yusof berkata, beliau bertemu dengan Hasnol menerusi laman Facebook pada tahun lalu dan yakin dengan kredibiliti penyanyi itu sehingga terbitnya kerjasama di antara mereka berdua. 

Jelas Hushni, bakat luar biasa yang dimiliki oleh Hasnol tidak seharusnya disia-siakan dan yakin single terbaharu penyanyi itu dapat diterima peminat. 

"Dia adalah seorang penyanyi yang baik dan sayang sekiranya bakat dia dibazirkan begitu sahaja memandangkan Hasnol masih mempunyai pengikut yang ramai," katanya.

Untuk rekod, Hasnol pernah menghasilkan dua buah album iaitu Sudi Katakan Sudi pada tahun 1992 selepas memenangi tempat ketiga program Voice of Aisa pada tahun 1991.

Manakala pada tahun 1994, Hasnol melancarkan album keduanya berjudul Caraku selain pernah memenangi kategori Pop Rock Anugerah Juara Lagu Kelapan (AJL) pada 1993 menerusi lagu Sudi Katakan Sudi.

Tags / Kata Kunci: Hasnol , Laguku Untukmu , Tinggallah , Kasih Abah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan