Marcell Siahaan Teruja Rima Melati Hamil Tiga Bulan

Diterbitkan: Khamis, 13 Mac 2014 1:54 PM

Marcell gembira isteri, Rima Melati disahkan hamil tiga bulan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun mendirikan rumah tangga penyanyi Indonesia Marcell Siahaan dan isterinya yang juga pelakon Singapura Rima Melati Adam disahkan hamil tiga bulan dan dijangka menimang cahaya mata pertama mereka penghujung tahun ini.

Marcell atau nama sebenar Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan, 36, mengakui teruja untuk menerima kehadiran ahli keluarga baharu yang bakal melengkapi keluarga itu.

“Alhamdulillah, selepas lima tahun kami bersama sebagai suami isteri, Rima disahkan hamil dan kini masuk bulan ketiga. Sebelum ini dia pernah mengandung tetapi mengalami keguguran.

“Saya harap semuanya berjalan dengan baik dan setakat ini keadaan dia sihat. Dia juga tidak banyak mengalami alahan seperti wanita ketika hamil,” katanya kepada mStar Online.

Marcell mempunyai seorang cahaya mata hasil perkahwinan bersama bekas isterinya yang merupakan seorang vokalis, pencipta lagu dan penulis lirik, Dewi Lestari iaitu Keanan yang berusia 6 tahun.

Manakala, Rima yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga juga mempunyai seorang anak lelaki, Edga Ian Cook, 3.

Sementara itu, Marcell berkata, pasangan itu mengharapkan kelahiran anak perempuan, namun begitu dia menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah.

“Kami ada dua anak lelaki yang sudah besar dan kalau boleh biarlah dapat seorang perempuan.

“Namun saya tidak terlalu mengharap dan menyerahkan sahaja kepada Allah,” katanya yang sudah memeluk agama Islam dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Marcell yang sudah hampir empat tahun tidak melakukan persembahan di Malaysia bakal mengadakan konsert Persona Cinta bersama Dayang Nurfaizah pada 28 Mac ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Katanya, dia yakin dapat mengembalikan semula memori peminat-peminat di negara ini dengan lagu-lagu hit dendangannya.

“Biarpun sudah empat tahun tidak ke Malaysia, namun saya yakin masih mempunyai ramai peminat di sini.

“Bagi konsert ini, saya akan sampaikan lebih kurang 15 hingga 20 lagu hit daripada lima buah album saya,” katanya yang turut akan menyanyikan lagu wajib berjudul Hanya Memuji.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan