Dayana Ubah Nama Selepas 6 Bulan Tiada Tawaran Berlakon

Diterbitkan: Khamis, 13 Mac 2014 5:12 PM

Dayana Roza harap lebih dikenali selepas filem 'Zombi Kilang Biskut'.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon Dayana Anak Wayang yang kini dikenali sebagai Dayana Roza mengakui membuang nama Anak Wayang di belakang namanya kerana dianggap tidak membantu dalam kerjaya lakonan.

Dayana atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin, 23, berkata, dia pernah berada dalam keadaan paling buruk apabila tidak menerima sebarang tawaran berlakon hampir enam bulan selepas beberapa bulan keluar daripada program realiti Anak Wayang itu.

"Saya terlalu muda dan tidak menggunakan peluang sebaiknya selepas keluar daripada rancangan realiti Anak Wayang itu. Ketika itu juga saya menganggap dengan nama Anak Wayang tawaran berlakon tidak akan putus.

"Namun, selepas beberapa bulan program itu barulah saya sedar kerja tidak datang bergolek hingga enam bulan saya duduk sahaja di rumah dan meminta duit daripada ibu," katanya kepada mStar Online.

Katanya, dia terpaksa memberanikan diri dan membuang perasaan malu untuk bertanya kepada beberapa produksi drama yang ingin menggunakan pelakon tambahan.

Tambah Dayana, dia juga hampir putus asa dan berusaha mencuba pelbagai pekerjaan lain.

"Saya rasa sangat kecewa dan putus asa, saya tebalkan muka untuk pergi berjumpa mana-mana kenalan yang bekerja dengan produksi untuk bertanyakan kalau ada watak-watak sampingan untuk saya.

"Alhamdulillah, saya terima tawaran untuk dua babak sahaja, tapi saya fikir memadai untuk orang produksi mengenali kewujudan saya dalam industri,

"Ketika itu saya tidak fikir tentang malu atau saya daripada program Anak Wayang sekalipun, saya hanya meletakkan diri saya seperti pelakon baru sahaja,"" katanya.

Tambah Dayana selepas itu, sedikit demi sedikit dia menerima tawaran berlakon dan melakonkan watak-watak besar.

Dayana yang turut membintangi filem terbaharu Mamat Khalid berjudul Zombi Kilang Biskut  menganggap peluang ini sebagai salah satu cara untuk menunjukan bakat lakonannya kepada masyarakat.

"Saya tidak mahu sia-sia peluang berlakon filem Zombi Kilang Biskut ini, saya sudah beri yang terbaik untuk membuktikan bakat lakonan saya melalui filem ini," katanya.

Dayana memeggang watak sebagai Sofea mengakui adegan berlawan merupakan cabaran utama sepanjang penggambaran filem ini.

Bagaimanapun, Dayana bekata, semua pelakon dan pengarah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya untuk melakukan semua aksi tersebut dengan baik.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan