Mamat Khalid Tampil Muka Baharu Dalam 'Zombi Kilang Biskut'

Diterbitkan: Rabu, 12 Mac 2014 3:33 PM

Mamat Khalid mengakui filem Zombi Kilang Biskut lebih segar dan berlainan daripada filem-filemnya sebelum ini.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengarah filem, Mamat Khalid, mengakui pengambilan beberapa pelakon baharu dalam filem terbaharunya berjudul Zombi Kilang Biskut adalah untuk memberikan sesuatu kelainan dan karya yang lebih segar kepada penonton.

Bagaimanapun, Mamat berkata, filem komedi yang dihasilkan melalui kesinambungan filem terdahulu seperti Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Husin, dan Mon & Jin Pakai Toncit itu masih mengekalkan beberapa watak dan pelakon lama.

"Saya sengaja ambil muka-muka baru terutama yang belum ada nama sebagai teraju filem ini suapaya ia kelihatan lebih segar dan berbeza daripada filem-filem saya sebelum ini.

"Namun begitu beberapa watak lama yang mengkaitkan filem-filem terdahulu seperti Pak Jabit, Husin, Usop dan Kak Limah masih dikekalkan," katanya ketika ditemui selepas selesai majlis pratonton filem Zombi Kilang Biskut, di One Utama, malam Selasa.

Filem Zombi Kilang Biskut masih dibarisi pelakon yang sama seperti tiga filem terdahulu antaranya Awie, Usop Wilcha, Delimawati dan Man Kadir selain turut menampilkan watak-watak baru seperti Eina Azman, Diyana Roza dan Shuk SYJ bagi memberikan suntikan lebih segar.

Tambah Mamat, filem tersebut menjalani penggambaran di sekitar Kuala Kangsar, Perak dengan kos sebanyak RM1.7 juta.

“Bagi filem ini, saya masih mengekalkan Kampung Pisang sebagai latar utama kerana tiga filem sebelum ini bertumpu kepada kemelut di kampung itu. 

“Kali ini tertumpu kepada masalah zombi di dalam kilang biskut pula. Saya harap kesinambungan filem ini dapat memberikan kepuasan kepada penonton,’’ujarnya.

Dalam pada itu, Awie berkata, watak Husin dalam filem ini berbeza daripada tiga filem sebelum ini, yang mana dia merasakan kematangan watak tersebut.

“Dalam Zombi Kilang Biskut, watak Husin banyak membabitkan aksi pergaduhan tetapi dalam bentuk komedi. 

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Mamat kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mencorak aksi pergaduhan dan memberi tunjuk ajar kepada pelakon lain untuk melakukan aksi terbabit,” katanya.

Zombi Kilang Biskut mengisahkan Husin yang kembali ke Kampung Pisang dan bekerja di sebuah kilang biskut di Taiping sebagai ‘supervisor’ atau penyelia selepas di­isytiharkan muflis akibat ditipu Skim Cepat Kaya di Singapura.

Di kilang berkenaan, Husin bertemu semula dengan rakan sekampungnya iaitu Usop, Deris dan Mat Karan. Mereka kemudian terbabit dalam menyelongkar misteri kemunculan zombi yang mengganas di kawasan kilang terbabit. 

Filem Zombi Kilang Biskut akan berada di pawagam bermula 20 Mac ini di seluruh Malaysia dan Brunei.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan