Ejen Kutip Royalti Diugut Bunuh

Diterbitkan: Jumaat, 7 Mac 2014 11:08 AM

Mohamed Anuar terkejut apabila ejen yang melakukan kutipan royalti mewakili pihaknya telah mendapat ugutan bunuh oleh beberapa pemilik kelab dan pusat karaoke di Cheras.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) terkejut apabila ejen yang melakukan kutipan royalti mewakili pihaknya telah mendapat ugutan bunuh oleh beberapa pemilik kelab dan pusat karaoke di Cheras di sini.

Pengerusi Prism Berhad, Mohamed Anuar Mohd Dahalan berkata, kejadian berlaku pada 27 Februari lalu dan dia menyifatkan perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan ejen tersebut menjalankan tugas yang diamanahkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

"Pihak kami diberitahu, ejen tersebut diugut bunuh menerusi sebuah panggilan telefon di mana pemanggil itu memperkenalkan nama dan premis hiburan yang diwakilinya.

"Antara ugutan yang diterima ialah 'jangan kacau saya punya pub, saya ada banyak pub di Cheras, you makan kenyang sudah tiada kerja ke? Kalau you kena pukul atau bunuh jangan salahkan saya'," katanya.

Anuar ditemui pada sidang media tergempar di pejabat Prism di sini pada Khamis. Antara yang turut hadir termasuklah penyanyi 1980-an, Datuk Rahim Maarof serta beberapa pemuzik tempatan.

Prisim Berhad adalah sebuah agensi pengutip royalti mewakili penyanyi dan pemuzik rakaman di negara ini yang baharu sahaja mendapat hak menjalankan kerja-kerja berkenaan membabitkan premis hiburan dan pelbagai sektor yang dipersembahkan kepada awam untuk tujuan perniagaan.

Antara yang hadir pada idang media tergempar di pejabat Prism di sini pada Khamis.

Tambah Anuar, ejen tersebut telah membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga dan kerja kutipan telah diberhentikan seketika selepas memikirkan faktor keselamatan diri.

Sementara itu Anuar berkata, pihaknya turut berasa kecewa apabila pihak Persatuan Hotel Malaysia (MAH) enggan mematuhi kuasa badan tersebut yang diberi hak dalam mengutip royalti ke atas ahli-ahlinya.

Malah terdapat beberapa syarikat perhotelan besar mendiskriminasikan Prism dengan tidak memberi kerjasama memperbaharui Lesen Persembahan Awam Prism sedangkan MAH telah bekerjasama dengan Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) dalam membayar royalti.

"Pihak kami telah mengeluarkan tiga notis kepada mereka di mana pada mulanya kami meminta mereka memperbaharui Lesen Persembahan Awam Prism. Apabila tidak dilayan, kami hantar notis kedua, pengisytiharan hak akta (mengenai kuasa Prism dalam kutipan royalti) dan kemudian menghantar notis peringatan. Namun ia langsung tidak diendahkan.

"Pihak kami juga telah memberi tempoh selama satu setengah bulan dalam menunggu respons mereka dan sekiranya ia masih tidak mencapai kata sepakat, ia akan dirujuk kepada pihak Tribunal Hak Cipta," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Prism Berhad , Royalti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan