Forteen Adakan Konsert Buktikan Mampu Menyanyi Secara 'Live'

Diterbitkan: Selasa, 18 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kumpulan Forteen. Foto NORAFIFI EHSAN / THE STAR
Kumpulan Forteen. Foto NORAFIFI EHSAN / THE STAR

KUALA LUMPUR: Kumpulan Forteen bakal mengadakan konsert sulung mereka Kita 20Forteen bagi membuktikan kemampuan menyanyi secara 'live' di hadapan para peminat pada 29 Mac depan.

Salah seorang anggotanya, Ameer, berkata, kepercayaan diberikan oleh syarikat rakaman KRU Music akan digunakan sebaik-baiknya dalam menjadikan konsert itu nanti satu kejayaan.

"Kami sahut cabaran untuk mengadakan konsert ini bukan sahaja ingin membuktikan pandangan negatif sesetengah pihak tentang kebolehan kami tetapi ingin menghargai sokongan peminat yang sentiasa berada di sisi kami.

"Konsert ini juga bakal memperlihatkan kami memberikan persembahan berbeza yang tidak pernah dilihat oleh peminat kami sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Forteen yang turut dianggotai oleh One, Ariz dan Izzue ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Red Box Sogo, di sini, Isnin.

Izzue bagaimanapun tidak hadir ke majlis berkenaan kerana sibuk di lokasi penggambaran sebuah drama.

'Kita 20Forteen' bakal berlangsung di KL Live pada pukul 5 petang.

Tambah Ameer, setiap ahli juga akan menyampaikan sebuah lagu solo sebagai salah satu kelainan dan mengukur bakat nyanyian mereka yang dipertikaikan sebelum ini pada konsert berkenaan.

Dalam pada itu, Ameer berkata, konsert itu diadakan pada sebelah petang bukan kerana takut bersaing dengan acara 'Twin Towers @Live’ yang berlangsung pada hari sama dengan nama-nama besar seperti Christina Aguilera dan Rain.

Sebaliknya, ia bagi mengelakkan peminat-peminat mereka yang rata-rata golongan remaja pulang lewat sekiranya di adakan pada waktu malam.

"Sejak awal lagi kami memang bercadang untuk mengadakan konsert pada waktu petang dan bukannya kerana bimbang persaingan daripada konsert yang menampilkan bintang antarabangsa.

"Malah kami yakin konsert sulung itu akan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat," jelasnya.

Sementara itu, Ameer berkata, mereka bakal menyampaikan 15 buah lagu pada konsert yang berlangsung selama dua jam itu.

Persembahan mereka akan diiringi pemuzik selain turut mengundang beberapa artis baharu naungan KRU Music iaitu Hazury, #tag, Qasri, Fitri Hakim dan Zia Bella sebagai penyanyi pembukaan.

"Acara akan bermula seawal tiga petang bagi membolehkan peminat menonton persembahan pembukaan daripada artis-artis tersebut," katanya.

Tambahnya, Forteen telah memulakan latihan untuk konsert itu dan berharap ia akan memberi impak kepada kerjaya nyanyian mereka.

Tiket untuk menonton konsert Kita 20Forteen dijual pada harga RM80 dan ia boleh dibeli menerusi United Studios di talian 03-8320 1888, KL Live 03-21622570 dan Red Box Ria 03-2694 7788.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh e-mel kepada enquiries@unitedstudios.net.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan