Drama 'Permata Hati' Diubah Kepada Format Filem

Diterbitkan: Rabu, 12 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan pelakon karya sulung Shah Rezza, Permata Hati.
Barisan pelakon karya sulung Shah Rezza, Permata Hati.

KUALA LUMPUR: Pelakon era 80-an, Datuk Seri Shah Rezza membuat keputusan untuk menaik tarafkan drama terbitannya, Permata Hati menjadi sebuah karya filem apabila ia mendapat respons yang positif daripada pengamal bidang hiburan yang menontonnya.

Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, 53, berkata, keputusan itu dibuat pada Ahad lalu sehingga menyebabkan dia bersedia melabur sebanyak RM10,000 untuk mengubah format drama berkenaan dalam bentuk filem.

"Ini merupakan karya terbitan pertama syarikat saya iaitu Nusantara Gems Sdn Bhd. dan sepanjang penggambaran saya memastikan kerja-kerja produksi berjalan lancar selain sinematografi dan penampilan pelakon-pelakon tampak cantik.

"Jadi apabila orang yang menonton karya itu memberi respons mengenai keindahan cerita tersebut dan layak dinaiktarafkan kepada sebuah filem, ia buatkan saya teruja.

"Malah saya sanggup bayar para pelakon untuk membuat penggambaran semula jika perlu bagi menambah tempoh masa karya tersebut selain menambah modal sebanyak RM10,000 untuk ditukarkan ke format filem," katanya.

Shah Rezza ditemui pada majlis tayangan amal Permata Hati di GSC Pavillion di sini pada malam Selasa.

Majlis tersebut bertujuan bagi mengisi tabung Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) di bawah naungan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah yang turut hadir pada malam itu.

Hadir sama, Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putera Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Tambah Shah Rezza, walaupun industri filem semakin nazak dengan kekurangan sambutan filem-filem Melayu di kalangan masyarakat tempatan, namun dia yakin, Permata Hati yang dihasilkan dengan kos sebanyak RM400,000 itu mampu membantu menaikkan semula industri kerana plot cerita yang berbeza.

"Jika ramai yang mahu mengelak daripada menghasilkan filem, maka lebih teruklah keadaan industri filem kita. Jadi saya mahu membantu untuk memeriahkan lagi dunia filem dengan produk pertama saya ini.

"Saya yakin, Permata Hati mampu memberi kesan kepada semua. Tambahan pula skripnya sudah saya simpan sejak 10 tahun lalu dan ia diubah sedikit mengikut keadaan semasa.

"Malah pengarah Erma Fatima juga pernah berhasrat mahu membeli skrip ini, tetapi saya enggan menjualnya kerana saya tahu ia mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Istimewanya karya ini, saya turut menampilkan barisan pelakon daripada negara Indonesia," ujarnya.

Permata Hati mengisahkan keharmonian rumah tangga Aizuddin (Zul Ariffin) bergolak selepas isterinya, Sofia (Elaine Daly) dikejutkan dengan berita suaminya mempunyai seorang anak luar nikah iaitu Alexander (Cahaya Rizky) hasil hubungan sulitnya dengan Sandra (Wulan Guritno).

Karya tersebut turut menampilkan keindahan busana rekaan pereka-pereka fesyen terkemuka seperti Datuk Tom Abang Saufi, Datuk Radzuan Radziwill dan Melinda Looi dari Malaysia sementara dari Indonesia pula ialah Ghea Panggabean, Dian Pelangi, Itang Yunasz dan Jeny Tjahyawati.

Permata Hati masih lagi belum ditetapkan tarikh tayangannya di pawagam.

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan