Nadia Mustafar Kesal Bapa Meninggal Dunia Sebelum Sempat Lihat Cucu - Berita Hiburan | mStar

Nadia Mustafar Kesal Bapa Meninggal Dunia Sebelum Sempat Lihat Cucu

Diterbitkan: Ahad, 9 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nadia terkilan tidak dapat bertemu dengan arwah bapanya kerana baharu sahaja bersalin anak ketiganya.
Nadia terkilan tidak dapat bertemu dengan arwah bapanya kerana baharu sahaja bersalin anak ketiganya.

PETALING JAYA: Pelakon Nadia Mustafar terkilan apabila tidak dapat berjumpa dengan bapanya iaitu Allahyarham Sheikh Mustafar Sheikh Ahmad buat kali terakhir yang meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi Ahad di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Nadia, 38, yang baharu sahaja melahirkan anak ketiganya pada Jumaat lalu berkata, arwah bapanya sebelum ini ada memberitahu supaya datang membawa bayi itu selepas dia bersalin dan sedih tidak sempat berbuat demikian.

"Sebelum mendapat tahu arwah ayah meninggal dunia, ahli keluarga ada memaklumkan keadaannya yang sudah kritikal dan saya mengagahkan diri bersiap untuk ke Ipoh bertemu dengannya.

"Bagaimanapun Allah lebih menyayanginya apabila dia pergi terlebih dahulu sebelum sempat saya bertemunya buat kali terakhir," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Nadia berkata, bapanya telah dimasukkan ke hospital berkenaan sejak beberapa hari lalu dan Allahyarham meninggal dunia kerana sakit tua pada usia 76 tahun.

"Sebelum ini dia jarang sakit teruk tetapi sudah sampai masanya arwah kembali kepada penciptanya dan saya reda," ujarnya.

Jenazah dijangka dikebumikan di Kajang dekat sini sebelum Asar pada Ahad.

Sementara itu, Nadia berkata, dia baharu sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Pantai Cheras di sini selepas melahirkan anak ketiganya yang diberi nama Mia Qaleessa.

Kata Nadia, Mia dilahirkan secara normal pada Jumaat lalu kira-kira pukul 2 petang.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan