Teater ‘Bidasari’ Terpaksa Diolah Agar Lebih Segar

Diterbitkan: Khamis, 6 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Raja Azura dan Jalaluddin Hassan
Raja Azura dan Jalaluddin Hassan

KUALA LUMPUR: Pementasan teater Bidasari yang diangkat daripada filem arahan Datuk Jamil Sulong pada tahun 1964 tidak mengikut jalan cerita asal karya lakonan Datuk Sarimah Ahmad dan Tan Sri Jins Shamsuddin itu.

Pengarahnya, Lokman Ghani berkata, pihak produksi melakukan perubahan hampir 70 peratus terhadap jalan cerita asal terutama dari sudut konflik penceritaan agar lebih segar dan menarik untuk dipersembahkan sebagai naskhah teater.

"Pada asasnya ia masih berlandaskan kepada filem asal cuma kita olah dan tambah konflik penceritaan supaya ia tidak membosankan dan lebih menarik apabila dipentaskan nanti," katanya kepada mStar Online.

Teater Bidasari bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya pada 10 hingga 17 Februari ini.

Ia membariskan pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azura, Aiman Hakim Ridza, Nur Fathia, Hairul Azreen, Radhi Khalid dan Fadilah Mansor.

Filem berkenaan diingati penonton kerana dialognya yang berirama berasaskan puisi Melayu bertajuk Bidasari.

Dalam perkembangan sama, Lokman berkata, pihaknya turut menekankan sudut teknikal pada pementasan itu bagi memberi impak kepada penonton selain muzik skor dan tarian.

Katanya, kecanggihan sistem dan teknologi di Istana Budaya akan digunakan bagi menghidupkan lagi kisah bangsawan berkenaan.

"Walaupun ia kisah klasik tetapi kecanggihan teknologi di Istana Budaya mampu mengubah teater ini lebih kepada kontemporari sesuai dengan zaman sekarang.

"Ia juga dilihat mampu menarik minat anak-anak muda untuk datang menonton ditambah dengan barisan pelakon yang hebat," katanya.

Sementara itu, Lokman berkata, dia yakin dengan kredibiliti dua pelakon utamanya iaitu Aiman Hakim Ridza dan Nur Fathia walaupun kedua-dua mereka pendatang baharu dalam dunia teater.

Jelasnya, kesungguhan mereka mendalami teknik dan gaya lakonan teater dalam masa singkat cukup mengagumkan.

"Saya harus beri pujian kepada mereka kerana usaha yang ditunjukkan walaupun kami berlatih dalam masa singkat.

"Jika prestasi itu dikekalkan mereka berdua mampu pergi jauh dalam industri teater," katanya.

Tambah Lokman, pelakon seperti Jalaluddin Hassan dan Raja Azura pula berpengalaman luas dan memudahkan latihan yang dijalankan sejak sebulan lalu.

Tiket untuk menyaksikan teater ini dijual pada harga RM30 hingga RM250 manakala RM20 untuk pelajar.

Bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas, diskaun 10 peratus diberikan kepada mereka.

Untuk tempahan tiket dan maklumat lanjut boleh melayari www.redtix.airasia.com atau menghubungi 03-8775-4666 atau 03-4026-5520.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan