Philip Seymour Hoffman Dalam Kenangan...

Diterbitkan: Isnin, 3 Februari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wajah terbaharu Hoffman yang dirakamkan pada 19 Januari lalu semasa Festival Filem Sundance. Pelakon itu meninggal dunia pada 2 Februari akibat pengambilan dadah jenis heroin berlebihan di apartmennya.
Wajah terbaharu Hoffman yang dirakamkan pada 19 Januari lalu semasa Festival Filem Sundance. Pelakon itu meninggal dunia pada 2 Februari akibat pengambilan dadah jenis heroin berlebihan di apartmennya.

DUNIA Hollywood sekali lagi dikejutkan dengan berita tragedi apabila pelakon dan pemenang Anugerah Akedemi iaitu Philip Seymour Hoffman ditemui mati di apartmennya di New York pada Ahad.

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati, kematiannya adalah akibat pengambilan dadah. Jarum yang digunakan untuk menyuntik dadah dikatakan masih terlekat di lengan ketika mayatnya ditemui.

Ramai yang tertanya-tanya, apakah kematiannya akibat kemurungan yang sedang dihadapi ekoran perpisahan dengan kekasih dan teman hidup selama 14 tahun, Mimi O'Donnell sejak Oktober tahun lalu.

Dengan Mimi, Philip mempunyai tiga orang anak. Mereka bagaimanapun tidak pernah mengikat tali perkahwinan secara rasmi.

Pelakon berusia 46 tahun itu dikatakan mula menyewa sebuah apartmen di pinggir bandar New York dengan kadar sewaan sebanyak AS$10,000 (RM33,000) sebulan mulai Oktober tahun lalu.

Di situlah mayatnya ditemui oleh kawan karibnya yang juga seorang penulis lakon layar, David Bar Katz.

David telah ke apartmen Philip atas permintaan Mimi setelah dia tidak muncul untuk mengambil anaknya Cooper, 10, Tallulah, 7, dan Willa, 5, untuk keluar pada pagi Ahad.

David kemudiannya bersama seorang lagi kawan perempuan telah ke apartmen Philip pada pukul 11.30 pagi dan mereka menemuinya terlantar di lantai bilik air hanya memakai seluar dalam.

Polis enggan membenarkan Mimi melihat mayat Philip di lantai bilik mandinya itu.

Mayat Philip hanya dibawa keluar dari apartmennya pada lebih kurang jam 7 malam. Mimi kemudiannya dilihat meninggalkan apartmen Philip sambil menitiskan air mata.

Philip kali terakhir muncul di khalayak ramai pada Festival Filem Sundance 2014 pertengahan Januari baru-baru ini, yang mana dia muncul untuk mempromosikan filemnya, 'God's Pocket,' dan juga 'A Most Wanted Man.'

Akhbar The New York Post melaporkan pada majlis itu dia sudah kelihatan selekeh, berserabut serta tidak terurus.

Sementara itu, pihak media melaporkan yang pada malam sebelum kematiannya, Philip telah dilihat menikmati burger bersama beberapa orang kawannya di Restoran West Village iaitu tempat makan kegemarannya.

Pengarah filem terbarunya 'A Most Wanted Man' iaitu Anton Corbijin turut terkejut apabila mendengar berita kematian Philip.

"Kami menghabiskan masa bersama dua minggu yang lalu dan dia kelihatan baik-baik sahaja walaupun kami mengetahui yang dia sedang berhadapan dengan masalah peribadi (perpisahan dengan Mimi)," ujar Corbijin kepada The New York Post.

Tambah pengarah itu, Philip bukan sahaja pelakon paling berbakat yang pernah dia bekerjasama malah seorang kawan yang baik dan sentiasa memberi sokongan dan dorongan.

"Saya berasa sukar untuk menerima hakikat yang dia telah tiada...," katanya lagi.

Yang paling tragis ialah, sehari sebelum kematiannya, tersebar berita palsu di dalam internet yang mengatakan Philip telah meninggal dunia sehingga memaksa jurucakapnya mengeluarkan kenyataan segera menafikan berita tersebut.

Philip memenangi Anugerah Oskar untuk pelakon terbaik pada tahun 2005 menerusi filem, 'Capote' dan dipuji oleh pengkritik industri sebagai yang terbaik dalam generasinya.

Dia mengambil masa empat bulan untuk menghabiskan kesemua buku hasil karya penulis kontroversi Truman Capote untuk membawa watak tersebut dan selepas itu bukan sahaja mempelajari gaya percakapan Capote malah berjaya meniru gaya penulis itu berjalan dan bergerak.

Dia dicalonkan untuk Anugerah Oskar sebanyak empat kali kesemuanya. Yang terbaru ialah menerusi filem 'The Master,' dia dicalonkan untuk kategori pelakon lelaki pembantu terbaik pada Anugerah Oskar 2013.

Sebelum itu Philip turut menerima pencalonan untuk kategori yang sama pada 2009 untuk filem 'Doubt,' dan kemudian sekali lagi untuk filem 'Charlie Wilson's War,' selaku pegawai CIA.

Keseluruhannya Philip membintangi lebih 50 buah filem.

Dan hanya beberapa minggu yang lalu, Philip diumumkan bakal muncul dalam satu siri komedi baru yang bakal dinamakan 'Happyish,' iaitu kisah tentang lelaki pertengahan umur yang sedang mencari kebahagiaan hidup.

Pada Mei tahun lalu, Philip yang muncul dalam program televisyen TMZ membuat pengakuan terbuka yang dia telah kembali mengambil heroin selepas 23 tahun tidak menyentuh dadah tersebut.

Philip bagaimana pun berkata, dia hanya mengambil heroin selama seminggu sebelum mendaftarkan diri di sebuah pusat pemulihan selama 10 hari.

Pelakon itu mengakui dia terlibat dengan penyalahgunaan dadah selepas dia tamat pengajian drama di Universiti New York.

Dilahirkan pada 1967, minat Philip ke atas dunia lakonan bermula seawal usia remaja.

Dia kemudiannya mempelajari bidang teater di sekolah musim panas untuk pengajian teater di tempat kelahirannya New York.

Philip selepas itu mempelajari drama di sekolah drama popular, Tisch School of the Arts yang merupakan sebahagian daripada Universiti New York.

Selepas tamat pengajian, dia dikenali sebagai seorang pelakon yang membawa hanya watak-watak berkarektor sahaja tidak kira sama ada kecil atau besar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan