Ahli Seniman Tubuh Geli, Desak Segerakan AGM

Diterbitkan: Jumaat, 24 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zed Zaidi.
Zed Zaidi.

KUALA LUMPUR: Ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bersama-sama Zed Zaidi yang pernah menjawat jawatan presiden (tidak sah) sebelum ini menubuhkan Gerakan Selamatkan Seniman (Geli) bagi mendesak supaya Mesyuarat Agung (AGM) persatuan itu dapat diteruskan.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil berkata, Geli bertindak untuk menggesa pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan kembali status persatuan itu yang kini tergantung sekali gus dapat membersihkan nama Seniman yang tercalar sebelum ini.

"Kami menunggu selama dua bulan untuk ROS menentukan bila AGM dapat diadakan seperti mana diperintah oleh mahkamah tetapi sehingga ke hari ini (Khamis) tiada sebarang maklum balas daripada mana-mana pihak termasuk Abu Bakar Omar yang membawa kes ke mahkamah.

"Atas dasar itu juga, kami ahli-ahli Seniman menubuhkan Geli untuk menggesa ROS melakukan sesuatu berhubung status Seniman dan seterusnya pemilihan presiden dan jawatankuasa baru dapat diadakan," katanya kepada mStar Online.

Zed ditemui pada sidang media berkaitan Seniman yang diadakan di Auditorium P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Khamis.

Selain Zed, pertemuan itu turut dihadiri oleh bekas Presiden Seniman, Baharuddin Omar, produser Datuk Yusof Haslam, Jurey Latif, Mariani Ismail, Aspalela Abdullah dan Sofia Ibrahim.

Dewan tersebut turut dipenuhi dengan kehadiran lebih 200 ahli Seniman yang datang memberi sokongan kepada Zed Zaidi.

Bagaimanapun kata Zed, penubuhan jawatankuasa sementara itu tidak menyalahi undang-undang kerana ia diwujudkan selepas tamat tempoh dua bulan yang diberikan mahkamah untuk Seniman mengadakan AGM yang baharu.

Dalam pada itu, Zed turut menyoal sikap Abu Bakar yang bertindak lepas tangan terhadap isu yang dibangkitkan di mahkamah dan turut menggesa pelakon veteran itu tampil menyelesaikan kemelut tersebut.

Zed mempersoalkan tindakan Abu Bakar yang mendiamkan diri seolah-olah ingin melihat Seniman terkubur buat selama-lamanya.

"Dia (Abu Bakar) yang mulakan masalah ini dan memenangi kes tersebut. Jadi sekarang mengapa senyap pula?

"Apabila dia membiarkan Seniman tergantung seperti ini ia sekali gus menghentikan aktiviti persatuan dan berharap dia akan melakukan sesuatu secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Zed berkata, pihaknya turut mewujudkan sebuah profil di laman Facebook iaitu Gerakan Selamatkan Seniman bagi memudahkan ahli melontarkan pandangan dan cadangan bagi menyelamatkan persatuan itu.

Terima Surat Daripada ROS – Abu Bakar Omar

Dalam pada itu Abu Bakar Omar yang dihubungi mStar Online berkata, pihaknya telah menerima sepucuk surat daripada ROS yang meminta tiga wakil termasuk daripada pihak Zed Zaidi untuk berbincang mengenai AGM berkenaan.

Kata Abu Bakar, pertemuan itu yang akan berlangsung di pejabat ROS ditetapkan pada 28 Januari ini dan surat berkenaan dipercayai turut dihantar kepada wakil Zed Zaidi.

“Saya hairan kenapa Zed Zaidi tidak menjelaskan mengenai pertemuan yang diaturkan oleh ROS itu tetapi bertindak memburu-burukan orang lain. Ini merupakan satu tindakan yang salah.

“Saya pun tak ada kuasa untuk menentukan bila mesyuarat perlu diadakan kerana mahkamah bukan suruh saya tentukan mesyuarat sebaliknya ROS yang diarahkan berbuat demikian,” ujarnya.

Abu Bakar juga turut kecewa apabila Zed menuduhnya mahu melihat Seniman berkubur sedangkan dia berhasrat untuk membela nasib ahli-ahli selain menghapuskan petualang yang merosakkan persatuan itu.

Katanya, jika dia tidak sayangkan persatuan berkenaan, dia tidak membawa kes berkenaan ke mahkamah sehingga mampu membuktikan terdapat unsur tidak sihat di dalam persatuan berkenaan.

Pada November 2013, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi di sini Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa Persatuan Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, adalah terbatal dan tidak sah.

Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Persatuan Seniman.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab).

Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif.

Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang.

Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan