Bapa Pelakon Ezany Meninggal Dunia

Diterbitkan: Selasa, 21 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pelakon Ezany Nizariff (dua, kanan) menyiram air mawar di pusara ayahnya, Mohd Nizariff Mohd Idrus di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, Kangar Isnin. foto - Bernama
Pelakon Ezany Nizariff (dua, kanan) menyiram air mawar di pusara ayahnya, Mohd Nizariff Mohd Idrus di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, Kangar Isnin. foto - Bernama

KANGAR: Mohd Nizariff Mohd Idrus, bapa pelakon Ezany, meninggal dunia di Hospital Ipoh pada Isnin setelah diserang sakit jantung.

Allahyarham yang berusia 68 tahun dan merupakan bekas pegawai Kilang Gula Felda Chuping menghembuskan nafas terakhirnya pada 5.30 pagi di hadapan isteri, Majmi Majid, 55, dan ketiga-tiga anaknya termasuk anak sulung Ezany atau nama sebenar Mohd Zaini, 37, dan dua adiknya, Mohd Zicki, 32, dan Zuraida, 28.

Adik Allahyarham, Mohd Muzaini, 57, berkata arwah abangnya menunggang motosikal seorang diri dari Kangar ke rumah Ezany di Kuala Lumpur pada Sabtu dan singgah di rumah sahabatnya di Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, arwah diserang sakit jantung sebelum sempat meneruskan perjalanannya dan dibawa ke Hospital Kuala Kangsar semalam sebelum dipindahkan ke Hospital Ipoh.

Mohd Muzaini berkata keadaan abangnya semakin tenat dan tidak sedarkan diri sehingga disahkan meninggal dunia pagi tadi.

Jenazah allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Taman Perlis di sini pada 1.35 tengah hari dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tok Paduka Kangar selepas solat Asar. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan