Usia Tidak Halang Salamiah Hassan Beraksi Di Konsert Solo

Diterbitkan: Khamis, 9 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aksi mantap Salamiah menerusi konsert solo pertama sepanjang 42 tahun pembabitannya dalam bidang nyanyian. -fotoTheStar SAMUEL ONG
Aksi mantap Salamiah menerusi konsert solo pertama sepanjang 42 tahun pembabitannya dalam bidang nyanyian. -fotoTheStar SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Penyanyi Salamiah Hassan berjaya memukau hampir 1,000 penonton dengan persembahan bertenaga menerusi Konsert Gelombang Salamiah Hassan yang berlangsung di Istana Budaya pada malam Rabu.

Walaupun sudah berusia 63 tahun, persembahan vokal Salamiah cukup mantap tanpa mengecewakan penonton yang hadir.

Menerusi konsert itu, dia turut berkongsi kisah silamnya ketika di awal pembabitannya dalam bidang nyanyian bermula seawal usia 19 tahun dengan menjuarai program Bakat TV terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1970an.

"Konsert ini cukup bermakna pada saya di mana lagu-lagu yang dipersembahkan mempunyai maksud tersirat selain ia merupakan konsert pertama saya sepanjang 42 tahun melibatkan diri dalam industri muzik tanah air.

"Kalau nak tahu, ayah saya cukup tidak suka apabila mendapat tahu saya minat di bidang nyanyian. Tetapi saya tetap degil meneruskan keinginan saya.

"Kemudian, sebelum ayah meninggal, dia mendengar lagu saya, dia cakap 'sedap juga anak aku nyanyi'. Dari situ saya tahu dia merestui apa yang saya lakukan," katanya.

Menyampaikan sebanyak 25 buah lagu, Salamiah memulakan persembahan dengan membawakan lagu If You Go Away iaitu lagu pertama yang dinyanyikannya ketika menyertai Bakat TV.

Menariknya konsert ini, Salamiah berkongsi kisah pengalamannya bagi setiap lagu yang bakal dinyanyikannya.

"Saya bersyukur sangat kerana lagu Surat Terakhir ciptaan Datuk Ahmad Nawab memperkenalkan saya dalam industri muzik tanah air.

"Dalam pada itu, melihatkan anak saya, Atilia juga minat dalam nyanyian, saya mengajaknya berduet dalam lagu Kadang Kala," ujarnya.

Antara lagu-lagu lain yang dinyanyikan Salamiah termasuklah Cita-Citaku, Bila Hati Dah Sayang, Aku Curiga, Mahligai Kayangan, Bintang Malam, Boleh Dilihat Di Pegang Jangan dan Gelombang.

Konsert tersebut akan berlangsung bermula 10 Januari sehingga 12 Januari 2014 di Panggung Sari, Istana Budaya, dekat sini.

Elemen klasik akan menjadi tema pada konsert tersebut di mana anaknya, penyanyi Atilia turut akan ditampilkan sebagai artis undangan.

Konsert itu juga menampilkan Raja Azmi sebagai penerbit, Pat Ibrahim selaku pengarah, Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik manakala Raja Malek dalam penataan seni.

Tiket bagi menyaksikan konsert boleh ditempah menerusi laman www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03- 4147-8600 atau 019-211-1600.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan